HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 Januari 2017

Biadap salah guna nama Saidatina Khadijah

ARIF ATAN
 
 
Aiman Athirah Al JundiAiman Athirah Al JundiAngkatan Wanita Amanah Negara (Awan) Nasional menyifatkan penyalahgunaan nama Saidatina Khadijah bagi tujuan kepentingan politik sempit dalam satu program anjuran Dewan Muslimat Pas sebagai tindakan biadap.

Timbalan Ketuanya, Aiman Athirah Al Jundi berkata, program yang dinamakan sebagai Jelajah Saidatina Khadijah (Jelas) itu jauh lebih biadap dan membodohkan masyarakat berbanding penyalahgunaan istilah Wanita Pertama Malaysia (FLOM) sebelum ini.

"Sebagai hujah perbandingan, penyalahgunaan gelaran First Lady Of Malaysia (FLOM) oleh Rosmah Mansor misalnya pun, rakyat sangat berasa sensitif dan terhina atas rasa  penghormatan dan kasih kita kepada Seri Paduka Baginda Permaisuri Agung.

"Apatah lagi salahguna nama Saidatina Khadijah isteri kesayangan baginda saw. Atau mereka mahu mengatakan bahawa yang disebut Saidatina Khadijah dalam program ini adalah nama seseorang individu lain?

"Dalam isu salahguna nama dan posisi FLOM, kita katakan Rosmah Mansor sebagai biadab terhadap Seri Paduka Baginda Permaisuri Agung dan cuba memperbodohkan rakyat Malaysia. Dalam hal salahguna nama Saidatina Khadijah, saya anggap ia jauh lebih biadab dan satu usaha pembodohan ummat," tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tindakan sayap wanita Pas tersebut jelas menyalahgunakan nama salah seorang daripada Ummahatul Mukminin iaitu isteri-isteri Nabi SAW yang juga digelar sebagai 'Ibu Kepada Orang-Orang Yang Beriman' demi kepentingan politik kepartaian yang sempit.

"Bila disebut atau dinamakan program 'Jelajah Saidatina Khadijah', daripada sudut bahasanya ia menggambarkan jelajah siapa sebenarnya? Siapa yang dimaksudkan sebagai Saidatina Khadijah di situ?

"Siapa yang menjadi Saidatina Khadijah atau barangkali merasakan diri mereka setaraf dengan Saidatina Khadijah dalam jelajah tersebut yang difahamkan dibuat ke seluruh negara? Memandang ke hadapan, bolehkah nanti akan ada pula  yang memberikan nama program mereka 'Jelajah RasululLah SAW' atau 'Jelajah Muhammad SAW'?" bidasnya.

Sehubungan itu, beliau berpendapat pihak yang mungkin menganggap hal tersebut sebagai tidak sensitif sebenarnya hilang rasa hormat dan cintanya kepada Rasulullah SAW dalam erti kata sebenar.

"Yang ada cuma sesuka hati mempergunakan agama, bersifat selektif dalam melahirkan sikap prihatin mereka terhadap Nabi SAW dan isteri-isteri Baginda SAW," tegasnya.

Mengulas tanggapan pihak yang cuba mewajarkan pemakaian nama tokoh berkenaan kononnya sama seperti 'Jejak Rasul', Aiman Athirah berkata, program oleh sebuah produksi televisyen tempatan itu memberi maksud menyoroti kisah dan sejarah para rasul, sekaligus lokasi-lokasi sasaran yang dituju pula adalah tempat-tempat bersejarah para anbia bahkan tidak salah daripada sudut bahasa dan istilah.

"Ada juga yang cuba menjustifikasikan tindakan kelompok mereka melalui cara menyamakannya dengan penggunaan nama 'Muhammad Azhar' misalnya dan ia disimpulkan sebagai tidak salah. Persoalannya, adakah Saidatina Khadijah yang disebut dalam 'Jelas' itu adalah individu lain?

"Usaha 'pusing' dan 'pembodohan' ini adalah dua perkara yang sama dan kini menjadi tabiat politik mereka (Pas). Jika beza ini pun mereka tidak faham malah mahu dan cuba disamakan pula, saya simpulkan inilah antara sikap para pentaksub yang hanya mahu mempertahankan tindakan kelompok mereka sekalipun jelas mereka salah," ujarnya.

Jika Umno dan NGO Melayu lain, jelasnya, berasa sangat sensitif apabila masyarakat bukan Islam khususnya dalam kalangan pemimpin politik Pakatan Harapan memetik ayat al-Quran dalam hujah mereka, tindakan salahguna nama Saidatina Khadijah itu jauh lebih berbahaya.

"Malahan, salahguna nama siapapun tetap salah dan satu tindakan yang biadab. Apatah lagi apabila terkait dengan salah seorang Ummahatul Mukminin yang kita kasihi dan hormati," tambah Aiman Athirah lagi.

Tiada ulasan: