HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Januari 2017

Jangan beri tekanan kepada rundingan PPBM-PAS

Oleh Nur Atiqah Samad
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pembangkang perlu bersedia menghadapi kekalahan pada pilihan raya umum akan datang sekiranya rundingan antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bersama PAS gagal mencapai kata sepakat.
 
Bekas pemimpin tertinggi PKR Mustafa Kamil Ayub justeru menegaskan tidak perlu untuk mana-mana pihak menetapkan tempoh masa supaya tidak menganggu dan memberi tekanan kepada proses rundingan tersebut.
 
"Pembangkang terutamanya dokongan Melayu, tanpa PAS tidak memberi makna apa-apa dan terlalu kecil jumlah yang ada dari segi posisi Melayu yang terdapat dalam pembangkang jika tanpa PAS. 
 
"Jadi saya tak fikir (pembangkang) boleh bergerak jauh kalau tanpa kejayaan untuk berunding dan satu bentuk yang munasabah boleh diterima PAS, PH, PPBM.
 
"(Jika) berikan satu tamat tempoh dalam konteks ini mungkin agak pra matang, kita (perlu) lihat perkembangan apa yang berlaku (pada) pertemuan 2 Februari ni. Dari situ kita boleh komen tanpa perlu berikan tempoh," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Semalam Amanah memberikan tempoh sehingga pertengahan Februari kepada Pakatan Harapan (PH) dan PPBM membuat keputusan muktamad mengenai kerjasama mereka dengan parti lain.
 
Amanah berpendapat pembangkang tidak boleh berlengah untuk merangka strategi besar menghadapi Barisan Nasional (BN) dalam apa kemungkinan sekalipun.
 
Tambah Mustafa lagi, meskipun rundingan itu sudah berjalan untuk tempoh yang agak panjang tetapi beliau percaya rundingan itu akan mencapai satu keputusan 'menang-menang' untuk pakatan pembangkang.
 
"Saya masih lihat ruang tu ada walaupun tidak terlalu mudah, kerja yang berterusan (perlu) kena dijayakan kalau nak melihat adanya peluang dari pembangkang untuk menumbangkan Najib dalam PRU akan datang.
 
"Apa-apa pun yang berlaku perlu ada muafakat antara pembangkang, jika itu tak berlaku walaupun diberikan tarikh tamat kita tidak boleh memaksa kepada mana-mana pihak," ujar beliau.
 
Walaupun beliau mengakui PH dan PPBM mampu bergerak bersama tetapi ia tidak akan memberi impak yang besar tanpa PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-14.
 
 

Tiada ulasan: