HALAMAN SANTAI

Rabu, 25 Januari 2017

Tutup saja Kementerian Wilayah Persekutuan, kata DAP

 
RM1.16 bilion yang diperuntukkan kepada kementerian lebih wajar dibelanjakan untuk projek perumahan mampu milik.


lim-lip-eng


PETALING JAYA: Ahli Parlimen DAP Lim Lip Eng sekali lagi membidas Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini, menggesa Putrajaya membubarkan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) kerana ia tidak diperlukan.

Memuji langkah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menutup 14 pejabat Tourism Malaysia seluruh negara bagi mengelakkan pertindihan tugas dengan pihak berkuasa pelancongan negeri, wakil rakyat Segambut itu berkata langkah yang sama perlu diambil terhadap KWP.

Katanya tanggungjawab kementerian bertindih dengan pihak berkuasa tempatan Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan.

“Ini kerana kementerian tersebut sebenarnya tidak ada kerja pun, selain hadir ke acara rasmi untuk faedah liputan media.

“Malah, KWP sebenarnya telah dibubarkan sebelum ini oleh Barisan Nasional, dan hanya diberi nyawa sekali lagi pada zaman Tun Abdullah Badawi.

“Ini jelas menunjukkan bahawa KWP hanyalah suatu makhluk politik yang memberi faedah kepada pihak tertentu sahaja,” kata Lip Eng dalam satu kenyataan hari ini.

Abdullah merupakan perdana menteri pada 2003-2009.

Lip Eng menambah peruntukan RM1.161 bilion kepada kementerian pada tahun ini lebih wajar dibelanjakan untuk projek perumahan mampu milik bagi pasangan muda dan keluarga berpendapatan rendah.

Sebelum itu, Lip Eng memuji langkah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menutup 14 pejabat Tourism Malaysia yang dijangka akan menjimatkan RM6 juta setahun.

Beliau menyifatkan langkah berani Menteri Datuk Seri Nazri Aziz contoh tadbir urus baik.

“Langkah pemotongan kos menjadi bukti bahawa ekonomi negara sebenarnya berada keadaan yang membimbangkan,” kata Lip Eng.

Jumaat lepas, Lip Eng membidas Tengku Adnan berhubung cadangan melarang “kapcai” (motorsikal berkuasa rendah) memasuki ibu kota.

“KL bukan bapa awak punya. Jangan halang ‘kapcai’ masuk ke bandar,” katanya.

Setiausaha Agung Umno mencadangkan larangan itu dalam usaha mengurangkan kadar pelepasan karbon dan membanteras jenayah ragut di ibu kota.

Ahli Parlimen Putrajaya itu kemudian menjelaskan cadangan larangan ke atas motorsikal berkuasa rendah tidak akan dilaksanakan tanpa sokongan rakyat. Katanya lagi cadangan itu diputarbelitkan pihak tertentu.

Tiada ulasan: