Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohamad Azhar
PUTRAJAYA: Hasrat DAP untuk mendapatkan jawatan tertinggi di peringkat
persekutuan selepas menang pilihan raya akan datang sudah disusun lebih
awal, kata bekas Setiausaha Pemuda PKR, Datuk Lokman Noor Adam.
Menurutnya, selepas DAP gagal pertahankan kerusi Menteri Besar Perak
pada 2008, menerusi Datuk Seri Nizar Jamaluddin (PAS), parti itu
menyusun strategi dengan melantik lebih ramai pemimpin Melayu dalam
parti untuk di jadikan 'boneka', sekiranya mereka berkuasa kelak.
"Saya tidak terkejut apabila DAP hendakkan jawatan TPM, (rujuk)
kemenangan DAP di Perak pada 2008. Kit Siang mahu DAP dipilih sebagai
menteri besar, tetapi undang-undang tubuh negeri Perak mengatakan bahawa
MB mestilah seseorang berbangsa Melayu dan beragama Islam. Maka beliau
terpaksa terima dan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai wakil
(ketika itu) untuk menjadi MB Perak.
"Mereka sudah letak calon di setiap negeri. Ada calon Melayu DAP. Di
peringkat parlimen mereka sudah ada anggota parlimen iaitu Datuk Ariff
Sabri (Ahli Parlimen Raub). Kenapa mereka letak Melayu? Supaya
permasalahan yang jadi pada 2008 yang menyebabkan mereka tidak dapat
jadi MB tidak berulang," katanya kepada Antarapos, hari ini.
Kata Lokman, hasrat DAP untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri
sebagaimana didedahkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini selari
dengan strategi parti itu untuk bertanding di 50 kerusi pada Pilihan
Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
Maka tidak mustahil apabila kini parti pimpinan Lim Kit Siang itu
semakin terkehadapan berbanding PKR dan Amanah di dalam Pakatan Harapan
(PH) dalam soal kemenangan kerusi dalam pilihan raya.
"Setakat kerusi TPM itu biasa. Saya tidak nampak kerusi TPM yang mereka
idamkan. Tetapi saya nampak bahawa kerusi TPM itu sebagai batu
loncatan.
"Namun apa yang berlaku di Perak boleh terjadi di peringkat
persekutuan. Kalau DAP menang kesemua 50 kerusi yang dipertandinkan
kemudian rakan-rakannya seperti PPBM menang 20 kerusi, PKR 30 kerusi,
Amanah 13 kerusi, mereka sudah boleh bentuk kerajaan," tambah Lokman
lagi.
Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)
baru-baru ini mendedahkan DAP ada meminta jawatan Timbalan Perdana
Menteri sekiranya pembangkang memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Beliau berkata DAP tidak meminta jawatan Perdana Menteri kerana akur
kaum Cina adalah golongan minoriti di negara ini namun meletakkan
harapan untuk mengisi jawatan kedua tertinggi negara.
"Tapi kalau timbalan itu, adalah.. Yang kata mereka nak jadi Perdana
Menteri adalah Datuk Seri Najib untuk menakut-nakutkan orang Melayu,"
katanya memetik sebahagian ucapan dalam program Warga Putrajaya bersama
Tun Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana, Rabu lalu.
Permintaan DAP untuk menjadi timbalan perdana menteri didedahkan
terlebih dahulu oleh bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku
Ibrahim bahawa wujudnya pakatan sulit antara Dr Mahathir dengan Lim Kit
Siang untuk menaikkan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai
Perdana Menteri dan Penasihat DAP itu sebagai timbalannya, jika Pakatan
Harapan (PH) menang pilihan raya akan datang.
PPBM dan DAP menafikan pendedahan itu dan berkali-kali mengugut untuk
menyaman Tunku Aziz. Bagaimanapun hingga kini tiada saman di failkan
terhadap ahli politik veteran itu.
Lokman, yang kini dilantik sebagai Pengarah Komunikasi Strategik
Kementerian Kewangan berkata DAP kini bermain wayang meletakkan calon
Melayu, yang bagaimanapun sebenar-benarnya akan 'dipandu' oleh pemimpin
parti rasis itu.
"Jika wakil Melayu daripada DAP sudah parti perlu ikut apa yang
diperkatakan oleh Setiausaha Agung DAP dan pemimpin lain. Ikut telunjuk.
"Contohnya Ngeh Ko Ham (Penasihat DAP Perak) apabila DAP menang di
Perak pada 2008, apabila Nizar jadi MB Perak, beliau (Ngeh) jadi exco
kanan. Tetapi Nizar yang perlu akur dan antaranya kena luluskan tanah
pajakan selama 999 tahun kepada penyokong DAP," kata bekas Panel Pemikir
Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) itu lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan