Roketkini.com
IPOH: Program suai kenal pengambilan pelajar baru Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Rabu lalu telah dicemari dengan ceramah fitnah memburuk-burukkan pemimpin dan gerakan mahasiswa.
Ceramah yang dikendalikan Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu juga mengaitkan gerakan mahasiswa dengan penganjuran perhimpunan Bersih yang berhasrat membawa rusuhan.
Mendedahkan perkara itu, Presiden Kesatuan Sosialis Muda Antarabangsa (IUSY), Howard Lee berkata, penceramah MKN yang turut menyembunyikan identitinya itu cuba menggambarkan bahawa perhimpunan awam akan hanya membawa rusuhan dengan mengambil contoh perhimpunan Bersih.
Apa yang menimbulkan persoalan, ceramah itu langsung tidak mempunyai kaitan dengan fungsi dan teras MKN sendiri iaitu Mempertahankan Kedaulatan dan Kepentingan Strategik Negara, Pengurusan Krisis dan Bencana serta Pengurusan Sempadan Darat, Maritim Dan Udara.
“Apakah kaitan perhimpunan Bersih 5 yang selesai secara aman dan damai serta dijalankan tanpa berlakunya sebarang rusuhan, dengan sebarang krisis dan bencana atau pengurusannya?
“Bagaimanakah Safwan Anang, Anis Syafiqah, Adam Adli, dan Hishamuddin Rais boleh membawa mudarat kepada sempadan darat, maritim mahupun udara Malaysia?” soalnya dalam satu kenyataan.
Ketua DAPSY Perak itu mendedahkan, penceramah menggunakan ‘slide’ dan gambar aktivis tanpa segan silu untuk memburukkan nama dan memfitnah tanpa diberi peluang untuk membela diri.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk menyoal Datuk Seri Alias Ahmad selaku Setiausaha MKN, bagaimanakah kedaulatan dan kepentingan strategik negara dapat dipertahankan melalui lontaran fitnah dan tohmahan kepada mahasiswa dan aktivis?
“Memandangkan MKN adalah di bawah pentadbiran Jabatan Perdana Menteri, wajiblah Perdana Menteri menjelaskan adakah cara zalim ini lazim digunakan oleh kerajaan untuk melawan kritikan, dengan mencemari kredibiliti pihak-pihak yang mengkritik, khususnya aktivis dan penggerak muda?” soalnya lagi. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan