HALAMAN SANTAI

Khamis, 26 Januari 2017

Tun Mahathir lebih berkuasa daripada Muhyiddin dalam PPBM

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
SHAH ALAM: Tun Dr Mahathir Mohamad lebih berkuasa daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), kata penganalisis politik Dr Kamarul Zaman Yusoff.
 
Ujarnya, merujuk Perlembagaan PPBM, pengerusi mempunyai kuasa yang lebih luas sekaligus menjadikan mandat yang dimiliki presiden parti amat terhad.
 
Malah semua keputusan yang dibuat presiden mesti mendapat kelulusan pengerusi terlebih dahulu.
 
"Tidak seperti parti lain, kuasa Presiden PPBM melantik Ahli-Ahli MPT, Setiausaha Agung, Bendahari Agung dan Ketua Penerangan PPBM serta Ketua dan Timbalan Ketua Badan Pimpinan PPBM Negeri juga tertakluk kepada perundingan dengan Pengerusi PPBM.
 
"Oleh itu, berdasarkan kepada kandungan Perlembagaan PPBM ini maka jelaslah bahawa kuasa sebenar (de facto power) dalam PPBM adalah dipunyai oleh Mahathir selaku pengerusi parti bukannya oleh Muhyiddin selaku Presiden Parti," katanya kepada Antarapos.
 
Dr Mahathir juga berkuasa untuk memanggil dan mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) tanpa perlu merujuk kepada Muhyiddin.
 
"Secara individu pula, tugas pengerusi adalah sangat luas kerana beliau diberikan tanggungjawab penuh untuk menjamin kelicinan keseluruhan perjalanan pentadbiran dan dasar parti," katanya memperjelaskan kedudukan sebenar Muhyiddin dalam parti itu.
 
Penjelasan Kamrul Zaman itu menjawab kemusykilan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini bahawa siapakah yang lebih berkuasa dalam PPBM?
 
Persoalan itu diajukan selepas isu rundingan antara PAS dan PPBM bersama Pakatan Harapan (PH) dibangkitkan Dr Mahathir.
 
"(Sekarang) ini presiden parti (PPBM) adalah Tan Sri Muhyiddin, Tun M sebagai penasihat. Dia (Muhyiddin) tidak laju (keluarkan kenyataan). Banyak kenyataan dikeluarkan Tun M dan presiden (Muhyiddin) tak ada kenyataan. 

"Tan Sri Muhyiddin dan Mukhriz memahami apa yang kita bincang selama ni pun, cuma saya fikir PPBM perlu selesai hal dalaman (parti) siapa yang nak kena ikut? Presiden ke penasihat? Kami pun jadi pening kepala juga," katanya kepada Antarapos pada Rabu.
 
Kamarul Zaman kemudiannya berkata, 'sudah terang lagi bersuluh' berjaya atau tidak rundingan PAS dan PPBM kali ini bergantung kepada Dr Mahathir, bukannya Muhyiddin.
 
"Mana-mana pemimpin PPBM yang terlibat dalam perundingan kerjasama PPBM-PAS tidak berkuasa membuat keputusan mengenai perundingan itu tetapi sekadar berkuasa melaporkan hasil perundingan itu kepada MPT sahaja.
 
"Oleh itu maka tidaklah pelik malah sudah sewajarnyalah pemimpin yang lebih banyak mengeluarkan kenyataan mengenai kerjasama PPBM-PAS ini ialah Mahathir sendiri selaku ketua MPT," ujarnya.
 
Muhyiddin kerap dilaporkan media sebagai berusaha untuk menjayakan rundingan PAS-PPBM biarpun Dr Mahathir berkali-kali menyindir parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu.
 
 

Tiada ulasan: