HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 Januari 2017

PAS mahu kerjasama dengan Umno selepas tolak 'salam' DAP?

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Keengganan PAS menyambut huluran salam perdamaian DAP baru-baru ini mengundang persoalan apakah parti itu lebih berminat untuk bekerjasama dengan Umno.
 
Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng membangkitkan persoalan itu selepas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertegas bahawa partinya tidak akan menjalin kembali kerjasama dengan DAP untuk pilihan raya umum depan.
 
"Hadi mewakili PAS telah sekali lagi mengatakan tidak akan bekerjasama denga DAP. 
 
"Maka soalan saya, apakah PAS di bawah pimpinan Hadi akan bekerjasama dengan Umno?," soalnya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
 
DAP sebelum ini membuat kejutan apabila menghulurkan salam perdamaian kepada PAS untuk menjalin semula kerjasama politik bagi menghadapi PRU yang akan datang.
 
Penasihatnya, Lim Kit Siang memaklumkan partinya boleh bekerjasama sekali lagi dengan PAS jika Hadi bersedia memberi komitmen untuk menyelamatkan Malaysia daripada menjadi kleptokrasi dunia. 
 
Bagaimanapun, salam berkenaan disambut dingin beberapa pemimpin PAS dan menyifatkan tidak akan menjerat dirinya sekali lagi dalam 'permainan' politik DAP.
 
Bagaimanapun kurang seminggu menghulurkan salam perdamaian kepada Hadi, Kit Siang pada semalam mengugut untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Presiden PAS itu kerana menuduhnya sebagai anti-Islam.
 
"Saya mahu beliau (Hadi) beri bukti bahawa pemimpin saya iaitu Kit Siang atau parti saya, DAP adalah pemimpin dan parti yang anti-Islam," ujar Lim Eng merujuk saman yang mahu dikemukakan pemimpin partinya itu.
 
Kit Siang yang juga ahli Parlimen Gelang Patah, mendakwa Hadi mengeluarkan kenyataan beliau anti-Islam apabila bercakap dengan wartawan bahawa PAS tidak akan bekerjasama lagi dengan DAP.
 
Bagaimanapun, tokoh DAP itu tidak menyatakan dalam kenyataannya apa yang dikatakan oleh Hadi sebenarnya.
 
Kelmarin Hadi mengeluarkan kenyataan keras terhadap pengkritik rang undang-undang persendirian yang bertujuan bagi meminda Akta 355 yang memperkasakan mahkamah syariah.
 
Mengulas lanjut, Lim Eng mahu rakyat, terutama sekali penyokong pembangkang sedar akan sikap yang ditonjolkan PAS yang berterusan ego untuk saling bekerjasama demi menewaskan Barisan Nasional (BN).
 
"Ini satu kenyataan (Hadi) yang jelas kepada penyokong pembangkang, sama ada PKR, Amanah, DAP atau PAS sendiri, bahawa bukan DAP atau parti-parti pembangkang yang lain tidak mahu bekerjasama dengan PAS. Tetapi PAS sendiri yang berkali-kali enggan bekerjasama dengan pembangkang yang lain, khususnya DAP," katanya lagi.
 
 

Tiada ulasan: