Mangsa perhambaan kumpulan Maoist di London, Siti Aishah Abdul Wahab akhirnya bercakap kepada media mengenai pengalamannya sebagai hamba dalam sebuah dokumentari di BBC2.
Dokumentari berdurasi sejam itu bertajuk ‘The Cult Next Door’ yang memaparkan kehidupan kumpulan yang diketuai Aravindan Balakrishnan yang juga dikenali sebagai ‘Komrad Bala’.
Balakrishnan yang merupakan ketua ektresmisme komunis Maoist berjaya mempengaruhi anggotanya bahawa dirinya adalah abadi dan mempunyai kuasa ghaib.
Pada Januari tahun lalu, dia dipenjarakan selama 23 tahun selepas didapati bersalah kerana merogol dua pengikutnya dan mengurung anak kandung, Katy Morgan-Davies selama lebih tiga dekad sejak dilahirkan.
Menerusi dokumentari tersebut, Siti Aishah yang kini berusa 72 tahun mendedahkan bagaimana Balakrishnan membuat tuduhan liar dan membuatkan para pengikut mengikut peraturan peliknya.
Sebagai contoh, mereka tidak dibenarkan berjumpa doktor gigi.
Sebaliknya, katanya, mereka seharus membiarkan gigi mreka ‘tercabut sendiri’ dan gigi mereka tumbuh semula apabila berusia 100 tahun.
Balakrishnan memberitahu bahawa salah seorang anggota, Sian Davies mengandung Katy disebabkan perutnya membesar kerana gas.
Sebaik sahaja Katy dilahirkan, Balakrishnan tidak mendedahkan siapa bapanya dan menghalang para pengikutnya daripada memeluk atau membelai bayi itu walaupun mereka membesarkan Katy.
Siti Aishah menjelaskan bahawa semasa Katy berusia empat tahun, kanak-kanak itu dikecam kerana tidak sengaja membuang air.
“Saya sangat marah mengenainya, saya bagaikan mahu melarikan diri dari rumah itu tetapi saya tidka buat,” katanya sambil menambah bahawa dia tidak pergi kerana tidak mempunyai wang dan bimbang akan diusir pulang.
Walaupun dikurung dan didera secara fizikal, Siti Aishah bagaimanapun memberitahu dia gembira tinggal di dalam kumpulan itu.
“Saya merasakan setiap hari sangat menarik dan saya tidak pernah bosan. Sentiasa ada sesuatu yang baru untuk dipelajari. Ada sesuatu yang perlu dilakukan.
“Saya tidak dapat bayangkan saya mempunyai kehidupan lebih baik daripada itu,” kata Siti Aishah dalam dokumentari berkenaan.
Mengenai Balakrishnan, Siti Aishah berkata, lelaki itu begitu menjadi inspirasi buatnya dan merasakan dia berpengalaman untuk menjelaskan minda para pengikutnya mengenai apa yang perlu dalam kehidupan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan