HALAMAN SANTAI

Rabu, 25 Januari 2017

Perkasa mahu tanding Bentong, Teluk Intan pada PRU14

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Selain mahu meletakkan calon di Pasir Mas, Kelantan, Parti Pribumi Perkasa (Perkasa) turut mahu meletakkan calon mereka di Bentong, Pahang dan Teluk Intan, Perak dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.
 
Presidennya Datuk Ibrahim Ali berkata, tindakan meletakkan calon di situ memandangkan DAP dan Gerakan yang biasanya bertanding di kawasan itu menolak Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (RUU355).
 
Ibrahim berkata, kedua-dua calon yang tidak dinamakan itu menawarkan diri memandangkan kawasan itu adalah kawasan Melayu dan mereka mahu membela umat Islam.
 
“Ahli Perkasa akan bertanding di Bentong dan Teluk Intan kerana kedua-dua calon itu membuat kenyataan menyentuh kedudukan Islam terutamanya bersabit RUU355.
 
“Mereka tak belajar sejarah, dan pemimpin mereka zaman silam… Mereka menyentuh pelbagai kenyataan serta mereka tak sedar, kemenangan lalu di Bentong dan Teluk Intan adalah kemenangan tipis,” katanya yang dipetik Malaysiakini.
 
Sebelum ini Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai menang di Bentong dengan majoriti 379 manakala Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong pula hanya menang dengan 235 undi majoriti di Teluk Intan.
 
Ibrahim berkata selain menolak RUU355, MCA dan Gerakan tidak banyak beza dengan DAP yang menuntut pelbagai perkara dilihat bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
 
“Pada mereka hak dan kepentingan kaum mereka saja penting dan tidak menjaga sensitiviti serta perasaan orang Islam.
 
“Kononnya RUU 355 bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, itu siapa kata. Kalau tak faham diam saja.
 
“Mereka juga sering menuntut berbagai perkara yang bertentangan dengan perlembagaan tapi berdalih atas nama demokrasi, kebebasan beragama, hak asasi dan macam-macam lagi,” katanya.
 
Ibrahim berkata, calon bebas yang akan diletakkan di kawasan itu adalah berbangsa Melayu.
 
Sebelum ini, PERKASA mengumumkan akan meletakkan 50 calon bebas bagi bertanding dalam PRU14.
 
 

Tiada ulasan: