Roketkini.com.
KUALA LUMPUR: Adakah amaran “tunggu” Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap ahli politik yang terlibat rasuah itu
ditujukan khas kepada “Malaysia Official 1” (“MO1”) yang dirujuk secara
meluas sebagai perdana menteri?
Atau ia sekadar peringatan keras kepada “ikan bilis” sambil membiarkan “ikan jerung” dilepaskan begitu sahaja?
Demikian yang dipersoalkan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang terhadap
kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad yang memberi
peringatan terhadap ahli politik yang melakukan rasuah bahawa mereka
akan ditangkap tidak lama lagi.
“Kepada
ahli politik yang korup, saya ada satu perkataan sahaja – tunggu. Apa
yang pasti kita takkan lepaskan sesiapa yang terlibat, tak kira dia ahli
politik, ahli perniagaan, atau pegawai GLC (syarikat berkaitan
kerajaan) di Malaysia ini,” kata Dzulkifli dalam temubual bersama Astro Awani malam semalam.
Mengulas lanjut kenyataan itu,
menurut Kit Siang, rakyat negara ini sudah muak dengan pelbagai alasan
SPRM apabila “rasuah besar-besaran” melibatkan pemimpin politik
dibiarkan begitu sahaja seolah-olah mereka satu “spesis” yang harus
dilindungi.
Alasan kekurangan peruntukan untuk
mengaji kakitangan antaranya, kata beliau, adalah tidak boleh diterima
kerana SPRM menerima RM250 juta peruntukan pada 2016 iaitu bersamaan
enam kali ganda peruntukan yang diterima Badan Pencegah Rasuah (BPR)
pada tahun 2000.
“Bolehkah Dzulkifli keluarkan laporan
yang menunjukkan bahawa SPRM enam kali ganda lebih efektif daripada BPR
pada 2000 dalam membasmi gejala rasuah, menahan dan menghukum
sekecil-kecil dan sebesar-besar pesalah rasuah?” soalnya dalam
kenyataan, hari ini.
Namun, katanya yang juga Ahli
Parlimen Gelang Patah, dengan peruntukan yang lebih tinggi itu kedudukan
Malaysia mengikut laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) oleh
Transparency International (TI) masih ditahap yang rendah malah terus
merosot sejak 2001.
“Kedudukan Malaysia pada tahun 2001
menurut CPI yang dikeluarkan TI itu adalah di kedudukan 36 daripada 91
negara dengan skor 50 daripada 100.
“Namun pada tahun lalu, kedudukan itu
jatuh ke tangga 55 daripada 176 negara dengan skor yang lebih rendah di
bawah separuh iaitu 49.
“Adakah ini peningkatan prestasi sebanyak enam kali ganda SPRM berbanding BPR pada tahun 2000?” soalnya.
BPR merupakan agensi terdahulu yang
diberikan tanggungjawab menjalankan tugas membanteras kegiatan rasuah di
negara ini sebelum digantikan dengan SPRM pada 2009. – Roketkini.com.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan