KEADILAN DAILY
KUALA LUMPUR: KEADILAN menggesa polis menubuhkan badan penyiasatan khas berhubung penahanan tiga individu bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca).
Pengerusi Biro Aduan Rakyat, S Manikavasagam berkata, beliau tidak akan membela jika tiga individu itu adalah penjenayah sebaliknya hanya membela mereka yang teraniaya.
“Akta ini disalahgunakan. Ia sebenarnya digunakan untuk jenayah berat, bukan untuk menangkap orang sesuka hati. Mereka tiada rekod jenayah.
“Sewaktu kejadian, polis menyerbu masuk ke dalam rumah, menggeledah tetapi tidak menjumpai apa-apa,” katanya dipetik Free Malaysia Today sewaktu ditemui pemberita di Bukit Aman, hari ini.
Mereka yang ditahan adalah Lingeswaran Rangasamy, serta dua yang lain tanpa namanya disebutkan. Salah seorangnya adalah pemegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU).
Bekas Ahli Parlimen Kapar itu berkata, tiga individu ditahan masih muda dan akan menyebabkan masa depan mereka terjejas.
“Bukannya saya hendak bela semua orang, tetapi tiga orang ini sahaja. Saya semak, memang mereka ini tidak ada rekod jenayah.
“Kesalahan yang mereka lakukan juga tidak diberitahu. Penahanan ini menyebabkan mereka susah mendapat pekerjaan,” katanya.
Manikavasagam hadir bersama salah seorang ahli keluarga mangsa menyerahkan memorandum kepada Pegawai Urusetia Komunikasi Korporat Ketua Polis Negara, ASP Mohd Zaki Abu Bakar.
Krishnasamy R Rangasamy, abang kepada Lingeswaran berkata tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sekiranya adiknya terus ditahan bawah Poca.
“Pada 25 Januari (esok), adik saya akan dibawa ke mahkamah di Jalan Duta bagi mendapatkan keputusan sama ada dibebaskan atau terus ditahan.
“Saya akan ambil tindakan terhadap pegawai polis terlibat jika adik saya tidak dibebaskan esok,” katanya.
Krishnasamy berkata, kemungkinan adiknya terlibat dalam jenayah adalah tipis memandangkan beliau setiap hari mengikutnya ke tempat kerja.
“Kerja kami sama. Kami kerja di bahagian percetakan. Adik saya setiap hari akan mengikut saya. Jadi saya tahu beliau tidak melakukan kesalahan,” katanya.
Krishnasamy berkata, adiknya ditahan sejak 29 November tahun lalu apabila beberapa anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman datang ke rumahnya di Bukit Rotan, Kuala Selangor dan membawanya ke Balai Polis Jinjang.
Beliau turut memberitahu adiknya itu sebelum ini pernah ditahan dua kali kerana disyaki terlibat kegiatan jenayah namun dibebaskan setelah tiada bukti yang boleh mengaitkannya.
Poca adalah akta digubal bagi menangani kegiatan jenayah seperti samseng, jenayah terancang, dadah dan pemerdagangan manusia.
Di bawah Poca, suspek boleh ditahan tanpa perbicaraan sehingga dua tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan