HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 Januari 2017

Mahathir perlu bersemuka dengan Abdul Hadi

Hadi, Mahathir

KOTA BHARU - Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad, seharusnya berjumpa sendiri dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 2 Februari ini, jika benar parti itu serius mahu menjalinkan kerjasama politik dengan Pas.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, apabila Bersatu hanya akan diwakili oleh Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, persepsi yang timbul ialah Bersatu tidak benar-benar serius untuk kerjasama tersebut.

“Dalam ucapannya di Hotel De Palma Ampang pada 21 Januari lalu, Mahathir menyatakan kesal kerana Pas menghantar pemimpin bawahan seperti Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Mustafa Ali sahaja dalam rundingan kerjasama politik dengan mereka menyebabkan persetujuan tidak dapat dicapai.

“Pelik jika Mahathir tidak tahu bahawa Presiden dan Timbalan Presiden Bersatu sendiri tidak mempunyai kuasa untuk membuat keputusan berbanding dirinya sendiri selaku Pengerusi Bersatu, tetapi bila beliau sendiri tidak turun berunding tentulah tidak wajar Presiden Pas untuk turun sama,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Kamarul Zaman diminta mengulas kenyataan Mahathir selepas berlangsungnya mesyuarat MPT Bersatu di Putrajaya semalam bahawa kerjasama politik Bersatu dan Pas akan dimuktamadkan dalam satu rundingan antara pemimpin kedua-dua parti politik tersebut pada 2 Februari depan.


Tiada ulasan: