HALAMAN SANTAI

Jumaat, 27 Januari 2017

Fenomena buli di sekolah, di mana hilangnya keprihatinan kerajaan?

Oleh Nurul Izzah Anwar


kes-buli


Rekod Kementerian Pendidikan menunjukkan statistik penurunan kes buli di sekolah seluruh negara tahun lalu kepada kira-kira 3,000 kes berbanding kira-kira 4,000 yang dicatat pada 2014. Penurunan kes buli berdasarkan rekod dari tahun 2012 hingga 2015, dan secara mata kasarnya menyimpulkan suasana semakin selamat buat anak-anak Malaysia.

Pun begitu, masih banyak lagi usaha pencegahan serta pendakwaan yang wajib dijadikan keutamaan dalam melahirkan suasana yang kondusif buat anak-anak Malaysia yang bersekolah. Sasaran sifar buli harus dijadikan agenda nasional dalam menjaga mutu institusi pendidikan Malaysia.

Malangnya, menerusi pengamatan saya berkait kes buli di dalam Parlimen Lembah Pantai melahirkan rasa kecewa dengan tiadanya tindakan tegas yang diambil oleh pihak sekolah, pihak Kementerian dan pihak berkuasa dalam menangani isu buli di sekolah.

Contohnya kes buli yang melibatkan adik Syazwan, bekas pelajar tingkatan dua di salah sebuah sekolah di Pantai Dalam, Kuala Lumpur yang dibuli sehingga menyebabkan kecederaan parah di bahagian anggota fizikal dan dalaman.

Walaupun kes ini telah dilaporkan berlaku sekian lama, pihak bertanggungjawab masih tidak tampil ke hadapan untuk menjawab persoalan berbangkit tentang isu ini.

Pada November 2016, adik Syazwan dilaporkan dibuli hampir 20 orang pelajar yang menuntut di sekolah yang sama. Tujuan pelajar-pelajar ini dilaporkan membuli adalah untuk beradu kekuatan, dan kes ini telah berlaku beberapa kali kebelakangan ini.

Insiden ini telah mengakibatkan kesihatan adik Syazwan di tahap semakin membimbangkan. Beliau menghadapi kesukaran untuk membuang air besar dan kecederaan sistem saraf yang serius.

Tindakan Pengetua dan pentadbiran sekolah yang pasif dalam kes buli seperti adik Syazwan ini dianggap tidak wajar. Pihak sekolah sepatutnya menjadi lapisan utama memerangi insiden buli di sekolah – bukan dilihat menutup kes semata-mata hanya untuk menjaga imej sekolah.

Hakikatnya, imej sekolah yang sebenarnya sudah tercalar akibat sikap pasif daripada Pengetua sendiri dalam menjamin keselamatan anak-anak di sekolah.

Pihak saya telah mengambil tindakan tegas dengan menghantar surat kepada Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk P Kamalantahan bagi menyiasat kes adik Syazwan ini dan mendesak tindakan lanjut kepada mereka yang bertanggungjawab, termasuk pihak pentadbiran sekolah.

Kes ini dikatakan masih dalam pemerhatian dan siasatan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Demi merealisasikan hasrat memerangi jenayah buli, saya mencadangkan agar kerajaan:

a) meminda dan mengkaji semula TATACARA DISIPLIN MURID PERATURAN-PERATURAN PELAJARAN (DISIPLIN SEKOLAH) 1959. Pindaan tatacara disiplin perlu bersesuaian dengan kaedah-kaedah baharu yang serius dalam menangani kes buli berdasarkan cabaran terkini termasuk gangguan menerusi media sosial.

b) mewujudkan sebuah Akta Khas mencegah jenayah buli.

Cadangan ini merupakan satu langkah jangka panjang dalam memastikan mangsa buli dilindungi dan keadilan mangsa terbela. Akta khas ini menjadi penanda aras usaha membanteras jenayah buli di peringkat pelajar dan pihak pentadbiran sekolah secara berterusan.

Sebuah jawatankuasa memerangi kes buli perlu diwujudkan bagi mengawal dan menyelesaikan masalah buli di peringkat negeri dan daerah. Jawatankuasa ini perlu diwakili oleh mereka yang pakar serta melibatkan pejabat pendidikan negeri dan daerah, pakar kaunseling dan pihak polis dalam usaha membenteras jenayah buli.

c) Penglibatan ibu bapa dan guru dalam PIBG melalui komunikasi antara murid serta rakan sebaya perlu digembleng bersama. Ibu bapa kepada mangsa buli perlu lebih berani tampil ke hadapan dalam melaporkan insiden buli ke atas anak-anak mereka di sekolah. Sikap segan dan malu tidak menjadi penghalang dalam membela nasib anak yang menjadi mangsa buli. Ingatlah seruan kepada keadilan dalam melindungi kebajikan anak-anak.

Justeru, kita sepatutnya mengambil iktibar dengan kes-kes buli sedia ada kini. Sekolah sepatutnya menjadi tempat anak-anak menimba ilmu pengetahuan demi pembangunan intelektual mereka. Usaha memerangi jenayah buli mampu mengembalikan peranan sekolah sebagai wadah pembinaan insan dan pemimpin masa hadapan negara.

* Nurul Izzah merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai merangkap Naib Presiden dan Pengarah Pilihan Raya KEADILAN

Tiada ulasan: