Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menolak dakwaan
partinya tidak bersungguh-sungguh mengadakan rundingan dengan PAS
ekoran hanya menghantar Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz
Mahathir selaku ketua delegasi.
Naib Presidennya, Datuk Hamidah Osman secara berseloroh juga berkata
PAS selama ini turut mewakilkan hanya Timbalan Presiden mereka, Datuk
Tuan Ibrahim Tuan Man dalam siri pertemuan sebelum ini.
"Di sebelah sana pun diketuai oleh Timbalan (Presiden), jadi kita pun diketuai Timbalan (Presiden)," katanya kepada Antarapos.
Bagaimanapun menurut Hamidah, tidak timbul isu mengapa PPBM mewakilkan Mukhriz sebagai ketua delegasi partinya.
"Bukan isu itu sebenarnya. Perundingan awal, Datuk Seri Mukhriz ketuai
(PPBM) semasa Tan Sri Muhyiddin bercuti, jadi dia hanya teruskanlah,"
katanya lagi.
PPBM dan PAS yang sebelum ini dijadualkan mengadakan perjumpaan pada
Khamis, akan mengadakan pertemuan esok khusus bagi membincangkan
kerjasama politik menuju pilihan raya.
Mengulas mengenai pertemuan itu, Hamidah turut menyeru agar PAS mengambil pendekatan realistik demi kesatuan pembangkang.
"Tentulah harapan kita supaya kita semua bersatu, sekiranya kita
berpecah maka ini buka ruang kepada Umno-BN untuk memenangi pilihan raya
akan datang.
"Sedangkan setahu saya sejak penubuhannya, PAS telah menerajui
penentangan terhadap Umno, tetapi takkan dalam keadaan Umno yang teruk
sekarang, PAS tidak mahu bersama untuk meneruskan perjuangan yang ia dah
buat sejak puluhan tahun," katanya lagi.
Dalam pada itu Hamidah turut senada dengan Ahli Majlis Tertinggi PPBM
Tariq Ismail, bahawa parti akan tetap meneruskan pertemuan dengan PAS
meskipun akar umbi marah ekoran parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi
Awang itu mengkritik Pengerusi mereka, Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Kalau kita lihat di media sosial pun kita boleh tahu memang ada
rungutan, sudah tentu bila ada pimpinan PAS buat kritikan kepada Tun
Mahathir ia mengguris hati ahli, malah ramai terguris.
"Tapi seperti yang saya katakan, kita lihat ke hadapan, kita fikirkan
sesuatu yang lebih besar dengan harapan rundingan kita akan membuahkan
hasil yang positif demi objektif yang lebih besar demi negara," ujar
beliau.
Ketika ditanya apakan PPBM akan memberi masa lagi kepada PAS sekiranya
hasil rundingan esok tidak seperti yang diharapkan, jawab Hamidah,
segalanya bergantung kepada keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT)
parti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan