HALAMAN SANTAI

Selasa, 24 Januari 2017

Azmin Kritik PAS Amal Politik ‘Kuku Besi’ Paksa Parti Lain Ikut Cara Mereka

 

t



GOMBAK: PKR menyifatkan PAS sebagai parti ‘kuku besi’ apabila mahu mana-mana pihak yang ingin bekerjasama dengan partinya hendaklah mengikut acuan mereka.


Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata tindakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu tidak menggambarkan satu proses demokrasi yang sihat.

“Tetapi kalau paksa kamu kena ikut cara aku, rentak aku, itu bukan demokrasi, tetapi itu kuku besi,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Skim Peduli Sihat di Pejabat Tanah dan Daerah Gombak, pagi tadi.

Hadi, baru-baru ini ‘menasihatkan’ mana-mana pihak yang berhasrat mengadakan kerjasama politik dengan PAS perlu mengikut rentak partinya.

Ini kerana PAS sudah bertapak lama dalam arena politik negara ini dengan melalui pelbagai pengalaman pahit manis, sekaligus menjadikan parti itu berbeza dengan parti-parti lain.

PAS dan PKR kini hanya bekerjasama dalam pentadbiran Selangor selepas hubungan dalam Pakatan Rakyat (PR) terkubur pada 2015. Gagasan itu kemudiannya diganti dengan Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai oleh PKR, DAP dan Amanah.

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad juga dijangka akan menyertai PH secara rasmi sebagai salah satu komponen parti, bukan sekadar gabungan pembangkang.

Tindakan itu diambil PPBM selepas PAS sehingga kini masih bertarik-tali dalam soal kerjasama politik pembangkang untuk menewaskan Barisan Nasional (BN).

Azmin, sebagai reaksinya terhadap perkembangan tersebut menegaskan keperluan untuk meneruskan proses rundingan dalam kalangan parti-parti pembangkang supaya menjadi keutamaan.

“Dalam mana-mana proses rundingan ia merupakan satu proses yang rumit. Bukan boleh selesai dengan hanya satu pertemuan. Sebab itu saya ajak semua pihak untuk berlapang dada untuk cari kepentingan negara mengatasi kepentingan individu.

“Kita teruskan perbincangan malam tadi bertemu dengan Pengerusi dan Presiden PPBM untuk lihat bagaimana boleh maju ke depan.

“Memang tidak mudah tetapi kekuatan yang ada pada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah beliau berlapang dada dalam proses demokrasi, ada yang setuju ada yang tidak setuju maka kena ada tolak-ansur.

“Bekas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama pernah mengatakan bahawa proses demokrasi adalah satu proses yang riuh ada yang setuju ada yang tak setuju. Tapi itu demokrasi,” katanya sambil menambah kesemua parti pembangkang perlu melihat kepentingan rundingan dalam menyuburkan lagi proses demokrasi AP

Tiada ulasan: