HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Januari 2017

Pemandu GrabCar meninggal dunia sejurus tiba di klia2

MALAYSIAKINI



Seorang pemandu perkhidmatan GrabCar meninggal dunia dipercayai akibat komplikasi jantung sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di Sepang hari ini untuk menurunkan penumpang.

Dedi Abdullah, 27, dari Shah Alam dikatakan mengalami sesak nafas apabila tiba di kawasan Pintu 3 lapangan terbang itu pada kira-kira pukul 7.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Abdul Aziz Ali berkata penumpang GrabCar berkenaan telah meminta bantuan anggota polis trafik yang sedang bertugas.

"Anggota polis trafik telah memberi bantuan dan memanggil paramedik dari Klinik Menara di aras dua, klia2. Pasukan paramedik yang sampai di tempat kejadian mengesahkan pemandu berkenaan sudah meninggal dunia," katanya.

Abdul Aziz berkata proses bedah siasat yang dijalankan di Hospital Serdang mendapati punca kematian adalah komplikasi jantung iaitu dua saluran jantung si mati tersumbat.

"Tiada unsur jenayah disyaki berlaku," katanya.- Bernama


Tiada ulasan: