HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Januari 2017

P Pinang jawab Hadi: Peruntukan agama terbesar dalam sejarah negeri

Sokongan kerajaan negeri DAP-PKR kepada orang Islam di Pulau Pinang lebih besar berbanding zaman BN, kata exco  


Abdul-Malik-Abul-Kassim_hadi-awang_600



GEORGE TOWN: Pulau Pinang menjaga kepentingan orang Islam sejak pakatan pembangkang nasional mengambil alih pentadbiran pada 2008, kata seorang exco menjawab dakwaan PAS baru-baru ini kononnya kerajaan negeri mengabaikan rakyat.

Exco Hal Ehwal Islam Abdul Malik Abul Kassim berkata PAS membutakan mata kepada pencapaian Pulau Pinang sejak itu, jika dibandingkan kepada pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini dilaporkan berkata “sikap DAP terhadap rakyat Pulau Pinang juga terbukti” apabila “masalah rakyat (Pulau Pinang) tak boleh selesai dengan baik”.

Menjawab laporan itu, Malik berkata peruntukan Pulau Pinang untuk hal ehwal keagamaan dan sekolah Islam melonjak 300% berbanding zaman Gerakan memerintah negeri itu.

Tambahnya kerajaan Pulau Pinang hari ini turut menyerahkan tanah bernilai RM80 juta untuk pembinaan Mahkamah Syariah baharu di Jalan Scotland.

Katanya kerajaan negeri juga akan membina hospital patuh syariah pertama di Bayan Baru, yang akan mula dibina pada Mac.

“Hakikatnya, syiar Islam di Pulau Pinang subur di bawah pentadbiran DAP dan PKR.

“Sejak 2008, kerajaan pimpinan Ketua Menteri Lim Guan Eng mencontohi Khalifah Umar Abdul Aziz (Umayyah), dengan meletakkan dasar ‘amar maaruf nahi mungkar’ dan program pembasmian kemiskinan,” katanya.

Malik menambah: “Orang Melayu dan Islam akan terjaga di Pulau Pinang walau apapun pengkritik katakan.”

Presiden PAS baru-baru ini dilaporkan berkata partinya tidak akan bergabung dengan DAP, kerana DAP menentang pelaksanaan undang-undang Islam khususnya berkaitan rang undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah yang dibentangkan oleh PAS.

PAS dan DAP memutuskan hubungan pada 2015 akibat perbalahan mengenai pelaksanaan hudud.

Sementara itu, Malik meminta PAS mengambil maklum bantahan Gerakan terhadap peruntukan hal ehwal Islam yang besar dalam belanjawan negeri.

Malik berkata Pulau Pinang memperuntukkan RM14 juta untuk pendidikan Islam tahun ini.

“Jumlah itu tidak termasuk pembinaan masjid, surau dan sekolah agama yang dibiayai kerajaan negeri, lebih besar berbanding peruntukan daripada kerajaan terdahulu.

“Pulau Pinang menjaga pembangunan pendidikan Islam, terutamanya melalui Sekolah Agama Rakyat,
sekolah Kafa (Kelas agama fardhu ain), Maahad Tahfiz, pondok dan tadika agama. Semuanya dibiaya wang kerajaan negeri,” katanya.

Mengulas perkara berkaitan, Malik mengingatkan PAS bahawa Pulau Pinang tidak mengkategorikan penceramah Islam mengikut parti politik, seperti yang PAS lakukan.

“Di Pulau Pinang, kami membenarkan mana-mana penceramah dan guru untuk mengajar mengikut kemahuan mereka.

“Semasa BN memerintah Pulau Pinang, ahli parti PAS tidak dibenarkan mengajar di masjid dan surau.

“Malah, bekas pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Mohd Salleh Man, iaitu presiden Majlis Agama Islam Pulau Pinang, tidak dibenarkan mengajar pada masa itu,” kata Malik, merujuk zaman BN memerintah negeri itu.

Tiada ulasan: