Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan (PH), Datuk
Saifuddin Abdullah mengundang tanda tanya apabila memuat naik satu
status berbaur 'patah hati' di laman Facebook beliau, beberapa hari
lalu.
"Letih melalui proses bertindih penuh dalih sehingga menyebabkan
organisasi bertatih dan khalayak jerih lalu kemenangan seakan tak mampu
diraih," demikian tulisan Saifuddin dalam laman sosial itu.
Walaupun bekas ahli Majlis Tertinggi Umno itu menulis secara berkias,
namun ia seolah memberi gambaran mengenai situasi 'celaru' yang melanda
gabungan yang disertai oleh PKR, DAP, Amanah dengan Parti Pribumi
Bersatu Malaysia (PPBM) itu.
Rata-rata pengikutnya di laman sosial berkenaan memberikan kata-kata
semangat dan meminta beliau tidak patah semangat, namun tidak kurang
juga ada yang memberikan komen sinis.
"Baru Datuk tahu, gila kuasa di kalangan orang kecewa pengkhianat,
jangan pula Datuk salahkan PAS atas kegilaan kuasa PH ini," tulis
seorang pengguna akaun bernama Mohd Sabri.
"Dulu semua salahkan PAS, Datuk. Sekarang Datuk tahu siapa yang selalu
buat masalah dan bocorkan maklumat mesyuarat," tulis Muhd Shah Ozil.
"PH tak sepakat. Depa (mereka) semua nak jadi ketua. Saya melihat
kewibawaan MB Selangor sebagai PM dan Datuk sebagai TPM. Bukan mesin
lama. Namun dalam sisi lain, tanpa PAS, sukar PH nak move (bergerak),"
tulis Mal Abdullah Kilot.
Malah, tulisan Saifuddin itu turut mengundang perhatian Pengarah
Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN),Universiti Utara Malaysia
(UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff.
Kamarul menerusi komentar yang disiarkan Berita Harian, melahirkan rasa hairan di sebalik 'luahan' tokoh penting dalam PH itu.
"Bila Saifuddin sebagai Ketua Setiausaha PH menulis mengenai
'organisasi bertatih', sudah tentulah ia merujuk kepada kelembapan
tumbesaran PH.
"Begitu juga bila beliau menulis mengenai 'kemenangan seakan tak mampu
diraih', sudah tentulah ia merujuk kepada ketidakmampuan PH mencapai
kemenangan di dalam Pilihan Raya Ke-14 (PRU14).
"Persoalannya ialah kenapa tokoh sepenting Saifuddin boleh secara
terbuka meluahkan kekecewaan beliau terhadap PH tatkala ramai pemimpin
PH lain, terkecuali Strategis DAP, Liew Chin Tong, yang turut tersilap
menyebut perkara sama di dalam akhbar mingguan The Edge Malaysia
keluaran 19-25 Jun lalu, melaungkan keyakinan mereka terhadap PH?,"
tulis ahli akademik itu.
Namun menurut Kamarul, berdasarkan perjalanan gabungan itu sejak ia
ditubuhkan pada September 2015, kekecewaan Saifuddin itu sememangnya
berasas.
"Ini kerana tumbesaran PH cukup lembap sehingga menyebabkan beberapa
kali Saifuddin termalu sendiri bila diperlihatkan seolah-olah telah cuba
membohongi rakyat," katanya sambil memberikan beberapa contoh peristiwa
di mana gabungan itu 'mungkir janji'.
Antaranya, Mesyuarat Majlis Setiausaha PH di Ibu Pejabat DAP pada 18
Januari 2016 mengumumkan bahawa PH akan melancarkan Dasar-Dasar Bersama
PH pada 16 Julai 2016, di mana antara perkara yang bakal ditekankan
adalah bagaimana untuk menangani isu kebajikan dan sosioekonomi serta
politik pengundi Melayu.
"Malangnya, pada tarikh yang dijanjikan, malah sehingga sekarang pun,
Dasar-Dasar Bersama PH gagal dilancarkan, di mana pada 12 Julai 2016,
Majlis Presiden PH sekadar mengeluarkan satu kenyataan media bagi
menyatakan ia membulatkan nekad bahawa pelbagai kelemahan PH setakat itu
perlu diselesaikan dengan segera agar kepentingan rakyat didahulukan,"
tulisnya.
Selain itu, Perjanjian PH yang yang ditandatangani oleh para pemimpin
tertinggi PH pada 9 Januari 2016, kata Kamarul, turut 'cakap tidak
serupa bikin'.
"Sebagai contohnya, Fasal 2.3 Perjanjian PH memperuntukkan bahawa
“sebarang perbezaan pendapat, percanggahan, ketidakpuasan hati atau
bantahan dari satu parti terhadap parti lain perlu disuarakan mengikut
saluran dalaman PH untuk diselesaikan secara bersama di dalam PH” dengan
pihak yang melanggar peruntukan ini boleh diadu kepada Badan Perantara.
"Bagaimanapun, perbezaan pendapat, percanggahan, ketidakpuasan hati
atau bantahan dari satu parti terhadap parti lain tetap juga disuarakan
secara terbuka oleh ramai pemimpin PH, termasuk oleh Pengarah Pendidikan
Politik DAP Johor, Mahdzir Ibrahim, yang menghentam AMANAH dan PPBM di
dalam portal berita Malaysiakini pada 28 Jun dan 1 Julai lalu," tulisnya
lagi.
Tambahnya juga, percanggahan turut berlaku dalam isu calon perdana menteri.
"Fasal 6.6 dan Fasal 6.7 Perjanjian PH pula memperuntukkan bahawa
pentadbiran kerajaan PH di peringkat Persekutuan dan di peringkat
negeri-negeri akan diketuai oleh seorang Perdana Menteri dan seorang
Menteri Besar/Ketua Menteri yang dipilih mengikut prinsip konsensus
iaitu setiap parti di dalam PH perlulah bersetuju sebulat suara
dengannya.
"Bagaimanapun, pengumuman secara unilateral mengenai calon Perdana
Menteri dan calon Menteri Besar/Ketua Menteri PH ini tetap juga dibuat
oleh ramai pemimpin PH, termasuk oleh Penasihat PH, Lim Kit Siang, yang
menamakan Datuk Husam Musa sebagai calon Menteri Besar Kelantan di dalam
kunjungan beliau ke Kota Bharu pada 29 Jun lalu.
"Berdasarkan kepada perkembangan PH seperti yang dinyatakan, memang
wajarlah Saifuddin sebagai Ketua Setiausaha PH memuatnaik satu status di
dalam Facebook beliau yang berbunyi 'Letih melalui proses bertindih
penuh dalih sehingga menyebabkan organisasi bertatih dan khalayak jerih
lalu kemenangan seakan tak mampu diraih',"tulisnya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan