Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
SHAH ALAM: Tidak timbul soal Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
'tenggelam', malah dinafikan peranannya dalam Pakatan Harapan (PH)
selepas dilantik sebagai Presiden gabungan itu.
Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail menepis tanggapan hanya ada
seseorang pemimpin tertentu sahaja yang menguasai gabungan pembangkang
itu selepas senarai kepimpinannya diumumkan baru-baru ini.
Azan percaya gandingan Wan Azizah dan Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir
Mohamad berlangsung dengan baik walaupun Ketua Umum, Datuk Seri Anwar
Ibrahim sedang menjalani hukuman penjara.
"Wan Azizah adalah Presiden PH. Dalam mana-mana organisasi, presiden
adalah jawatan utama. Saya rasa beliau berfungsi dengan baik apabila
dibantu dengan Dr Mahathir.
"Mana ada hanya satu orang sahaja boleh mendominasi semua. Konsep itu
lain jika hendak dibanding dengan Barisan Nasional (BN), Umno lebih
mendominasi apabila semua keputusan dibuat, begitu juga perwakilannya,"
ujarnya kepada Antarapos, hari ini.
Baru-baru ini PAS, menerusi Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim
Tuan Man menyifatkan peranan Wan Azizah akan tenggelam selepas berlaku
kerjasama pembangkang dengan Dr Mahathir.
Begitu juga perjuangan utama pembangkang sebelum ini untuk membebaskan Anwar yang kini dipenjarakan atas kesalahan meliwat.
Ujar Azan, tidak wajar PAS mengkritik PH yang baru ditubuhkan, selepas
mendapat penyertaan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
"Kita baru tubuh PH, bagaimana mereka boleh kata orang ini ke depan,
orang itu ke depan. Jika hendak buat ulasan buatlah perbandingan," bidas
Azan.
Beberapa kritikan muncul selepas PH mengumumkan barisan kepimpinannya
baru-baru ini, di antaranya menyebut ia cubaan menampakkan gabungan
pembangkang itu lebih 'kemelayuan'.
Ia berikutan tiada jawatan yang disandang Penasihat DAP, Lim Kit Siang
dalam kepimpinan utama PH, meskipun beliau sebelum ini sering dituduh
sebagai mengetuai pembangkang.
Malah dakwaan bahawa Dr Mahathir cuba mendominasi pembangkang juga
bertebaran apatah lagi mantan perdana menteri itu dilihat cuba
menentukan cadangan senarai kepimpinan PH sebelum ini.
Azan kemudiannya meminta orang ramai melihat perkembangan tersebut
sebagai suatu yang positif malah kerjasama di antara pembangkang adalah
berteraskan konsensus.
"PH wujud atas konsep 'collective decision making'. Kepada sesiapa
mengatakan hanya dia seorang buat keputusan, maka mereka merasa
tercabar. Kerana pembentukan PH nampak cantik. Ada kaedah untuk beri
pendapat dan sebagainya," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan