KULAI: Kenyataan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr
Mahathir Mohamad, baru-baru ini, yang mendakwa akan memohon pengampunan
diraja bagi membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara sekiranya
Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) disifatkan
sebagai tidak masuk akal.
Sebaliknya, kenyataan bekas presiden Umno itu dikhuatiri mempunyai
agenda tersendiri dan bertujuan mahu mengelirukan ahli parti terutama
ketika semua bahagian seluruh negara sedang bersidang, kata Naib
Presiden Umno, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.
Justeru itu, beliau mengingatkan ahli-ahli Umno agar tidak terikut-ikut
dengan agenda dan perancangan beliau dalam musim persidangan Umno
bahagian.
"Jadi tiap-tiap hari akan ada kenyataan (dari Dr Mahathir) yang tidak
masuk akal .. orang (Anwar) yang dia (Dr Mahathir) suruh tangkap dahulu,
orang (Anwar) yang dia (Dr Mahathir) kata tidak bermoral, orang (Anwar)
yang dipinggirkan daripada parti...saya selaku Ketua Pemuda ketika itu
merasainya pada ketika itu.
"Sekarang dah berubah pulak pendiriannya, saya percaya itu sebahagian
dari strategi (beliau) nak mencuba mengekploitasi dan hendak menimbulkan
kekeliruan dan kemarahan ahli-ahli kita apabila kita bersidang di
bahagian-bahagian tetapi setakat hari ini, saya lihat (taktik) tidak
berjaya," kata Hishammuddin selepas merasmikan Persidangan Perwakilan
Umno Bahagian Kulai di Dewan Raya Bandar Putra, di sini Sabtu.
Beliau berkata memandangkan bekas perdana menteri itu pernah memimpin
Umno sebelum ini, dia tahu selok belok bagaimana mahu mengekploitasi
keadaaan.
Sementara itu, katanya, sebahagian maklumat yang terkandung dalam
manual pilihan raya antara lain, golongan sasaran sudah siap dan akan
disalurkan kepada jentera pilihan raya melalui bengkel-bengkel yang
diadakan secara berperingkat bermula di Umno Bahagian Lenggong minggu
lepas, diikuti Kulai dan bahagian Gelang Patah hari ini.
"... akan ada maklumat mengenai golongan sasar yang perlu kita dekati,
bagaimana mahu mendekati mereka, contohnya melalui media sosial dan
sebagainya dan bagaimana mahu mengatasi dakyah-dakyah terutamanya bila
dekat dengan pilihan raya ini akan banyak tuduhan yang akan dilemparkan
terhadap kita (parti), kita kena siap sedia untuk menjawabnya," kata
Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan