HALAMAN SANTAI

Rabu, 22 November 2017

Sultan Johor bimbang kemelut orang Melayu

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dalam kenyataan sempena Hari Keputeraan baginda yang ke-59, menyuarakan kebimbangan terhadap kemelut yang menghantui orang Melayu pada hari ini.
 
Sebagai raja yang berjanji serta berikrar untuk menjaga kepentingan orang Melayu dan agama Islam, baginda bertitah tidak akan membiarkan krisis perebutan kuasa antara pemimpin Melayu terus berlaku yang akhirnya membuatkan orang Melayu berpecah belah dan lemah.
 
"Akan tetapi, pada hari bersejarah ini juga, saya ingin menyuarakan kebimbangan saya yang sangat mendalam terhadap kemelut yang menghantui orang Melayu pada saat dan detik ini.
 
"Dari hari ke hari, orang Melayu terheret dengan krisis kredibiliti yang mencalar imej dan kepercayaan kepada institusi yang dipimpin oleh orang Melayu yang akhirnya menyusutkan keyakinan, pengaruh dan kuasa sebenar orang Melayu," titah baginda yang dimuat naik dan Facebook (FB) rasminya, di sini, hari ini.
 
Sultan Ibrahim bertitah, kekusutan sebegini membuatkan hati baginda berasa bimbang dan mengambil pendirian untuk mengingatkan orang Melayu supaya mencari penyelesaian dengan segera.
 
"Biar apa pun yang mendatang, kepentingan dan pengaruh orang Melayu mesti dijaga sebaiknya. Tanpa kompromi, tanpa dolak dalih. Lebih-lebih lagi di Johor, di mana bermulanya perjuangan Melayu yang paling tersusun dan berjaya dan menjadi benteng yang kuat di negara ini," titah baginda.
 
Sultan Ibrahim bertitah, orang Melayu harus bangkit bersatu untuk menjadi bangsa yang besar dan berpengaruh tanpa perlu menyinggung atau mengenepikan bangsa lain.
 
"Jangan hanya sibuk melaungkan tentang hak keistimewaan, tetapi sesama bangsa Melayu hidup leka dan bersengketa. Pemimpin mengambil segala pendekatan dan mencari jalan terbaik untuk menjadikan kedudukan orang Melayu lebih baik dan dihormati.
 
"Untuk itu, suka saya nasihatkan semua pemimpin Melayu supaya bermuafakat, duduk semeja dan berlapang dada untuk berbincang tentang masalah bangsa dan memberi fokus untuk meningkatkan maruah serta menjaga kepentingan orang Melayu. Kembalikan rasa percaya dan rasa setia orang Melayu kepada para pemimpinnya," titah baginda.
 
Baginda yakin dengan adanya perdamaian dan permuafakatan, segala masalah dan cabaran akan dapat diatasi demi mencapai tujuan yang sama untuk mengukuhkan kedudukan serta pengaruh orang Melayu.
 
"Saya berharap semua pemimpin Melayu dan orang Melayu akan berusaha bersungguh-sungguh untuk kepentingan bangsa. Semoga usaha ini membuatkan manfaat yang besar kepada tanah air dan untuk generasi kita akan datang," titah baginda.
 
 

Tiada ulasan: