Oleh Athirah Hanapiah
SHAH ALAM: Tindakan 80 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang tidak
hadir pada pengundian belah bahagi rang undang-undang perbekalan (Bajet
2018) peringkat jawatankuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri,
Koperasi dan Kepenggunanaan (KPDNKK) pada Isnin lalu dianggap sebagai
sesuatu perkara yang memalukan.
Penganalisis politik, Dr Jeneri Amir berkata ia sekali gus memberikan
gambaran yang tidak baik kepada rakyat lebih-lebih lagi apabila Pilihan
Raya Umum ke-14 (PRU14) akan diadakan tidak lama lagi.
"Adalah amat memalukan kalau sebagai contoh mereka tewas dari segi
jumlah undi itu semata-mata kerana jumlah mereka di dalam dewan rakyat
kurang daripada jumlah Ahli Parlimen pembangkang.
"Ini sekaligus memberi gambaran yang kurang baik kepada pengundi di
kawasan mereka dan rakyat pada keseluruhannya," katanya ketika dihubungi
Antarapos.
Tedahulu pada Isnin, seramai 80 anggota parlimen BN tiada di Dewan
Rakyat sehingga menyebabkan Bajet 2018 untuk KPDNKK hampir tidak lulus
di peringkat jawatankuasa.
Namun, bajet tersebut akhirnya diluluskan dengan satu undi majoriti,
iaitu 52 anggota parlimen mengundi untuk menyokong manakala 51 yang lain
membantah.
Manakala, dua anggota parlimen dari PAS pula berkecuali.
Ia selepas Ahli Parlimen Kapar, G Manivannan membuat kejutan dengan
mengusulkan undi belah bahagi diadakan bagi perbahasan peringkat
jawatankuasa Bajet 2018 KPDNKK.
Susulan ketidakhadiran dengan jumlah yang besar itu, Timbalan Perdana
Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan dalaman akan
diambil terhadap kesemua 80 anggota parlimen berkenaan.
Mengulas lanjut Jeneri berkata, sepatutnya sudah menjadi tanggungjawab
bagi kesemua Ahli Parlimen untuk menghadirkan diri ke sidang dewan
rakyat, bukan sahaja untuk berdebat malah lebih penting ketika ia
melibatkan undian di antara kerajaan dan pembangkang.
Ujarnya, rakyat mengharapkan wakil rakyat yang dipilih untuk mengambil
serius terhadap segala tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan
kepada mereka pada PRU lepas.
Justeru katanya, tindakan Ahli Parlimen yang tidak menghadirkan diri
pada sesi pengundian tersebut seakan menunjukkan ketidak-seriusan mereka
dalam melunaskan apa yang telah diamanahkan oleh rakyat.
"Rakyat mengharapkan wakil rakyat mereka mengambil serius terhadap
segala tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan oleh mereka melalui
rakyat dan pilihan raya.
"Maksudnya mereka mengharapkan supaya wakil rakyat dan Ahli Parlimen
mengambil serius terhadap hal-hal yang di dalam perbincangan, perdebatan
dan hal-hal berkaitan kemukaan usul atau pengundian di dalam dewan
rakyat.
"Ini sesuatu yang kritikal sebenarnya, amat penting dan kita berharap
tidak berulang lagi selepas peringatan diberikan oleh TPM," katanya
lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan