HALAMAN SANTAI

Selasa, 21 November 2017

Henti langgan Utusan, Berita Harian bukti Azmin tergugat usaha BN di Selangor

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Tindakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menghentikan langganan rangkaian akhbar dibawah Utusan Melayu dan surat khabar Berita Harian membuktikan beliau tergugat dengan usaha Pengerusi Umno negeri, Tan Sri Noh Omar. 
 
Ketua Penerangan Umno Selangor, Datuk Zein Isma Ismail berkata, ia terlihat jelas apabila terkesannya beliau dengan gerak kerja, malah bentuk kerjasama kerajaan persekutuan yang dikelola Noh, khusus untuk rakyat negeri.
 
Noh juga memegang jawatan selaku Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
 
"Bagaimana mungkin dia katakan tidak terkesan tentang gerak kerja yang dilaksanakan Tan Sri Noh Omar bersama pimpinan di seluruh bahagian negeri Selangor sehingga terpaksa mengharamkan pengedaran langganan Utusan Melayu dan Berita Harian di setiap pejabat kerajaan negeri dan juga agensinya.
 
"Ini satu tindakan yang amat bodoh sebagai  seorang Menteri Besar dalam dunia digital hari ini. Ini membayangkan kepada kita kelam kabutnya pemikiran dia. Amat kelam kabut," katanya dalam temubual eksklusif bersama Antarapos hari ini.
 
Selangor pada 9 November lalu mengeluarkan pekeliling mengarahkan semua jabatan, agensi dan anak syarikat kerajaan negeri menghentikan langganan akhbar di bawah kumpulan Utusan Melayu dan Berita Harian berkuat-kuasa serta-merta.
 
Arahan tersebut mengundang kritikan daripada pemimpin Umno, termasuk Ketua Penerangannya Tan Sri Annuar Musa yang menyifatkan arahan itu membuktikan Selangor tunduk kepada pengaruh DAP, selain ia memberi gambaran yang buruk terhadap pentadbiran Azmin.
 
Arahan itu dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd. Amin Ahmad Ahya.
 
Mohd Amin juga memaklumkan bahawa arahan untuk membatalkan langganan dan menghentikan iklan dalam akhbar Kumpulan Utusan pertama kali dikeluarkan melalui pekeliling bertarikh 12 Jun 2008, beberapa bulan selepas Pakatan Rakyat membentuk kerajaan Selangor.
 
Pada masa yang sama, Mohd Amin juga mengarahkan semua jabatan, agensi dan anak syarikat kerajaan negeri supaya memberi tumpuan kepada melanggan akhbar syarikat kerajaan negeri, Selangor Kini, Sinar Harian dan The Star sahaja.
 
 

Tiada ulasan: