HALAMAN SANTAI

Jumaat, 24 November 2017

Jangan ceroboh kawasan pepasangan TNB

TH EMALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Orang ramai dilarang sama sekali menceroboh kawasan pepasangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) termasuk menara talian dan pencawangnya bagi mengelak risiko kemalangan elektrik.

Naib Presiden (Grid) TNB, Datuk Ho Peng Choong berkata terdapat risiko renjatan serta pancaran arka daripada arus bervoltan tinggi yang boleh menyebabkan kecederaan serius dan kehilangan nyawa.

“Ia juga boleh mengakibatkan kerosakan harta benda dan gangguan bekalan kepada pengguna yang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Peringatan itu dikeluarkan susulan kejadian seorang lelaki dilaporkan memanjat menara talian penghantaran TNB di Bangsar beberapa hari lalu, untuk merakamkan swafoto bagi menyambut hari lahirnya.

Selain itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya jangan membawa peralatan panjang seperti galah di bawah talian atau memancing di kolam atau tasik di kawasan berdekatan talian atas bervoltan tinggi.

“Sebagai syarikat yang prihatin terhadap aspek keselamatan elektrik, TNB memohon kerjasama semua agar menjauhi kawasan TNB yang dipasang papan tanda kawasan larangan demi mengelakkan perkara tidak diingini,” katanya.–Bernama

Tiada ulasan: