HALAMAN SANTAI

Jumaat, 17 November 2017

Al-Quran,lukisan dari kacamata Tian Chua di penjara


 
Al-Quran,lukisan dari kacamata Tian Chua di penjara

Kitab-kitab agama yang dibawa bersama ketika Tian Chua dalam tahanan.

Selama 30 hari Tian Chua berada di penjara masanya banyak diisi dengan membaca kitab-kitab agama seperti membaca tafsiran al-Quran, mentelaah bible, gita dan melukis.

Kata beliau, hanya dipenjara masa untuk  mencermin diri maka kitab-kitab agama adalah peneman yang setia.

“Setiap kali saya masuk lokap polis dan penjara, saya cuba dapatkannya kerana kitab-kitab agama boleh diulang baca berbanding sebuah novel atau bahan bacaan lain yang hanya akan dibaca sekali sahaja.

“Biasanya tiada sebab pegawai penjara untuk tolak bahan bacaan seperti kitab-kitab agama kerana atas kebebasan beragama yang dilindungi perlembagaan, berbanding buku-buku politik mungkin akan ditolak untuk dibawa bersama ketika dalam tahanan,” ujarnya.

Beliau berkata, sempat membaca beberapa helaian tafsiran al-quran dalam tempoh dipenjarakan dan tidak memandang al-Quran sebagai sebuah kitab agama bagi orang Islam semata-mata.

“Saya sempat baca tafsir al-Quran kerana ada 30 hari saya pilih mana yang relevan dan ada kala tidak sempat baca.

“Baca tafsir al-quran berbeza dengan buku-buku mengenai Islam jika kita mahu memahami mengenai orang Islam atau sejarah kedatangan atau perkembangan Islam dan sebagainya.

“Ada ayat-ayat dalam tafsiran al-Quran ini menyampaikan mesej kepada manusia sejagat.
“Kitab-kitab suci begini membenarkan kita mentafsirkan situasi sendiri dan bagaimana kita dapat ilham untuk perjuangan dan kehidupan kita.,” ujarnya.

Beliau menolak pandangan membaca tafsiran al-Quran membolehkan dikalangan bukan muslim memahami umat Islam dan agama yang dianuti itu.

“Saya anggap persepsi sedemikian tidak begitu tepat jika ada pihak berpandangan memahami orang Islam dengan membaca tafsiran al-Quran, ia dilihat telah menghadkan seolah al-Quran hanya untuk orang yang menganut agama Islam sahaja.

“Kita harus memperluaskan mesej ini. Al-Quran boleh diguna pakai dalam pelbagai keadaan untuk manusiawi. Al-Quran itu membawa mesej universal untuk dapat inspirasi, semangat dan memahami keadaan kita sendiri.

“Saya ada tiga kitab agama yang dibawa bersama di penjara dan saya rasa satu bulan tidak cukup untuk memahami tiap mesej yang ada pada setiap muka surat kitab-kitab agama ini.

“Bagi saya ketika kita berada dalam penjara bahan bacaan sebagai ‘companion’ ketika keseorangan dengan membaca kitab-kitab agama seolah saya berdialog dengan sesiapa sahaja yang turunkan mesej itu seolah-olah ia sebagai sahabat saya, ia sangat membantu.

“Sebab itu saya kata, tidak perlu kita takut kepada penjara sekiranya kita tahu guna masa untuk membaca kitab-kitab agama, kita akan jadi tidak cukup masa mentelaah satu persatu.

“Itu sebab kalau tidak ada buku lain perlu ada kitab-kitab agama ini sudah cukup untuk kita gunakan masa sepenuhnya. Kita tidak rasa kesunyian, keseorangan kecewa kerana kita dapat bimbingan Tuhan,”terangnya.

Justeru dengan pengalamannya itu beliau amat merasa simpati dikalangan banduan yang buta huruf yang masih meringkuk di penjara.

“Saya sangat simpati ramai banduan buta huruf tidak tahu bagaimana mengunakan masa ketika di penjarakan, ini pengalaman yang sangat menderita.

Tian Chua menunjukkan sebahagian lukisannya yang mengambarkan makanan yang dimakan ketika di dalam tahanan.

“Kehidupan mereka seolah-oleh tidak ada makna. Orang yang boleh membaca akan dapat ilham boleh berdialog dengan mesej ini (kitab-kitab agama) supaya kita memahami  makna sebuah kehidupan ini,” ujarnya.

Bagi beliau apabila dihumban ke penjara ia tidak ubah seperti satu ‘titik’ rehat buat sementara untuknya menjana tenaga dan potensi  kembali bergiat semula dengan perjuangannya.

“Ini juga peluang bagi saya meningkatkan ilmu dengan membaca kitab-kitab agama pada hari pertama saya ke penjara.

“Selepas satu minggu buku-buku lain boleh dibawa masuk oleh peguam atas permintaan.
“Manusia dilahirkan hidup bermasyarakat apabila diasingkan daripada keluarga dan rakan-rakan kita rasa keseorangan dan tidak dapat hadapi diri sendiri.

“Untuk atasi ini kita tahu gunakan masa dengan baik. Membaca adalah satu kaedah saluran yang baik dapat mengatasi masalah ini.

“Kita harus gunakan masa untuk memikirkan refleksi diri sendiri tentang kerja kita hala tuju dan lain-lain selepas ini.

“Bila kita dibebaskan kita sudah ada rutin harian setiap jam diisi dengan aktiviti, program dan pelbagai lagi kadang kala kita tidak ‘tekan brek’ untuk menghayati apa yang kita lalui dan apa yang jarang kita lakukan selama ini,” ujarnya.

Kembali melukis

Tian Chua mempunyai minat dalam seni lukis tetapi minatnya itu terhenti lama kerana kesibukannya sebagai wakil rakyat.

Ketika dipenjarakan Tian Chua anak sulung daripada empat beradik ini telah kembali melukis bagi mengisi masa lapang selain daripada membaca kitab-kitab agama.

“Saya memang minat melukis sejak kecil tetapi setelah masuk politik tiada masa, lama sudah saya tinggalkan.

“Dari hari pertama masuk tiada kertas dan pensil. Alat tulis  seperti pensil dan pemadam dibeli di dalam penjara selepas keluarga masukkan duit.



“Buku lukisan pula dibawa masuk oleh peguam,” ujarnya memulakan cerita bagaimana beliau mengisi masa dengan melukis melalui daya penglihatan dan ingatannya dan mengambil kesempatan untuk melukis ketika berada di dalam sel.

Sebanyak 15 lakaran lukisan dilakukannya antara yang beliau lukis seperti seekor lipas, kucing, blok-blok tahanan, menu makanan yang dihidangkan dan sel tahanannya.

“Saya lukis keluasan sel saya 13 kaki x 9 kaki ada tilam dan peti letak barang,tempat mandi dan tandas.

“Ada seekor kucing selalu bermain dengan saya ketika saya lakukan senaman.

“Saya diberi masa setengah jam di waktu pagi dan setengah jam di waktu petang untuk aktiviti di luar sel, dari situ saya akan melihat sekeliling, mengingatinya dan akan dilukis semula,”ujarnya yang menerangkan ada sekeping  lakaran lukisannya  menggunakan simbol bagi mengelak ia hilang dari helaian atau buku lukisan  dirampas warden penjara  atas faktor keselamatan.

Mengenai layanan warden penjara beliau berpuashati kerana memberi kerjasama yang baik terhadapnya.

Mengenai hiangan makanan walaupun disajikan nasi putih, ayam atau ikan ,sayuran, buahan ujarnya, iamenepati piawaian nutrisi bagi menu makan tengahari dan malam.

“Masa perayaan Deepavali saya dapat makan nasi briyani semua dimasak oleh banduan yang sudah lama disana yang berkelakuan baik boleh ditugaskan di dapur,” ujarnya yang menganggap pemenjaraan itu sebagai rehat supaya beliau boleh bergerak lebih jauh untuk teruskan perjuangan.

Sambil beliau menunjukkan beberapa lakaran lukisan pada situasi yang sempat dilihatnya yang akan terus disimpan sebagai sebahagian daripada memori perjuangan beliau selama 20 tahun di pentas politik negara.

Baca:Pemenjaraan Tian Chua beri mesej kepada rakyat sistem demokrasi, politik ‘sakit’

Tiada ulasan: