HALAMAN SANTAI

Rabu, 22 November 2017

Undi belah bahagi: Saya tak hadir sebab cirit-birit, kata Nazri

MALAYSIAKINI



Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz mengakui beliau merupakan salah seorang anggota parlimen BN yang tiada ketika pengundian belah bahagi Isnin lalu, tetapi ketidakhadirannya itu bersebab.

Anggota Parlimen Padang Rengas itu berkata, malam itu beliau tidak sihat kerana mengalami cirit-birit.

"Pada hari tersebut saya tidak hadir kerana cirit-birit jadi saya tidak tahu apa-apa," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata tidak mempunyai apa-apa maklumat berhubung tindakan yang diambil terhadap anggota parlimen BN yang tidak hadir pada pengundian tersebut, seperti yang dikatakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Ketua Whip BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Saya tidak tahu. Saya tak dengar apa-apa (tindakan)," katanya lagi.

Pagi tadi, Zahid berkata 'tindakan dalaman' diambil terhadap anggota parlimen BN yang tiada di Dewan Rakyat ketika itu, sehingga Bajet 2018 untuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hampir tidak lulus di peringkat jawatankuasa.

"Tindakan domestik (dalaman) telah diambil terhadap MP yang tidak hadir.Saya juga sudah tegur mereka yang mereka perlu lebih serius dalam soal menghadiri sidang (Parlimen)," katanya.
Lebih daripada 80 anggota parlimen BN tidak hadir ketika itu.

Bajet tersebut akhirnya diluluskan dengan satu undi majoriti, iaitu 52 anggota parlimen mengundi untuk menyokong manakala 51 yang lain membantah. Dua anggota parlimen lagi, dari PAS, pula berkecuali.

Ia selepas G Manivannan (PKR-Kapar) membuat kejutan dengan mengusulkan undi belah bahagi diadakan bagi perbahasan peringkat jawatankuasa Bajet 2018 KPDNKK.

Tiada ulasan: