HALAMAN SANTAI

Rabu, 22 November 2017

Tun M sengaja mahu timbulkan kebencian rakyat kepada kerajaan - Penganalisis

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad sengaja mahu mencetuskan gimik politik dengan membuat kunjungan ke Kementerian Dalam Negeri baru-baru ini bersabit status pendaftaran gabungan itu yang masih belum diluluskan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS).
 
Penganalisis Politik, Edwin Michael Muniandy berkata, selaku mantan perdana menteri yang juga bekas Menteri Dalam Negeri, Dr Mahathir sepatutnya sudah lebih arif bersabit pengurusan pendaftaran sesebuah parti politik.
 
Katanya, tindakan Dr Mahathir dan pemimpin pembangkang berkunjung ke KDN seolah-olah mahu menimbulkan kebencian rakyat terhadap kerajaan yang kononnya sengaja bertindak kejam selepas masih belum meluluskan pendaftaran PH sebagai sebuah gabungan parti politik rasmi.
 
"(Tun) Mahathir selaku mantan perdana menteri selama 22 tahun dan menteri keselamatan dalam negeri selama 15 tahun sepatutnya faham apa sebenarnya yang sedang berlaku sehingga menyebabkan KDN enggan memberikan kelulusan kepada PH. 
 
"Tindakan Mahathir yang membawa delegasi ke KDN itu adalah satu propaganda politik untuk seolah-olah menunjukkan kerajaan sengaja enggan meluluskan penubuhan PH.
 
"Ini tidak lebih sebagai satu lagi gimik politik daripada pembangkang untuk menunjukkan kepada rakyat kononnya kerajaan begitu kejam dan zalim," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
PH yang menggabungkan empat parti itu sehingga kini masih gagal untuk didaftarkan sebagai sebuah parti bagi mendepani Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
Susulan itu, Dr Mahathir bersama beberapa pemimpin tertinggi PH pada Isnin lalu hadir ke KDN bagi mengetahui status pendaftaran gabungan itu yang masih belum diluluskan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS). 
 
Dalam pertemuan itu, KDN yang diwakili Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata RoS belum meluluskan permohonan tersebut disebabkan masalah dalaman dua parti komponennya, DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
 
DAP sebelum ini dibelit masalah pemilihan semula Jawatankuasa Esekutif Pusat (CEC) sementara PPBM pula berdepan risiko dibubarkan berikutan gagal mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) selepas setahun ditubuhkan.
 
Mengulas lanjut Edwin berkata, pembangkang tidak sepatutnya terus-menerus menuduh kerajaan sengaja melengah-lengahkan pendaftaran parti tersebut sehingga kini.
 
Ujarnya, secara realitinya, mereka perlu 'membuka mata' dan sedar bahawa kemelut yang melanda DAP dan PPBM yang dipengerusikan Dr Mahathir itu sendiri yang sebenarnya telah membantutkan pendaftaran tersebut.
 
Malah, beliau juga tidak menolak kemungkinan PH akan gagal untuk didaftarkan sebagai sebuah gabungan rasmi disebabkan masalah PPBM yang masih belum diselesaikan sehingga ke hari ini.
 
"Kita tahu DAP mempunyai masalah pemilihan dalam CEC dan walaupun pemilihan CEC yang baru telah dibuat, tetapi ada beberapa ahli DAP yang membuat laporan mengatakan mereka percaya pemilihan CEC yang terbaru itu tidak telus dan jujur.
 
"Dan masalah dalaman di dalam PPBM di mana AGM sampai hari ini masih belum dibuat, struktur organisasi yang berterabur yang gagal menunjukkan bahawa mereka layak untuk diangkat sebagai sebuah parti politik dan ramai ahli-ahli PPBM yang keluar parti.
 
"Semua pergolakan dalaman ini tidak dilihat sebagai satu faktor sebaliknya  menuduh kerajaan sebagai faktor, adalah sesuatu yang tidak boleh diterima oleh akal fikiran yang waras. 
 
"Saya melihat secara kritikal bahawa mungkin penubuhan PH tidak dapat dapat diluluskan kerana PPBM itu sendiri," ulasnya lagi.
 
 

Tiada ulasan: