HALAMAN SANTAI

Sabtu, 25 November 2017

Bom Mesir: Tiada rakyat Malaysia terlibat

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Kementerian Luar hari ini mengesahkan tiada rakyat Malaysia terbabit dalam insiden serangan di Masjid Al Rawdah, yang terletak antara Bandar Bir Al Abed dan Al Arish, Sinai Utara, Mesir, semalam.
 
Kementerian itu dalam satu kenyataan, berkata Kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan yang berlaku ketika solat Jumaat itu yang sehingga kini mengorbankan 235 nyawa dan mencederakan 109 yang lain.
 
Katanya, kerajaan turut merakamkan takziah kepada kerajaan dan rakyat Republik Arab Mesir selain keluarga serta mangsa yang terbabit dengan insiden itu.
 
"Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah akan terus memantau perkembangan berhubung serangan itu.
 
"Rakyat Malaysia yang berada di Mesir diingatkan supaya sentiasa berhati-hati dan peka terhadap keadaan keselamatan mereka," kata kenyataan itu.
 
Maklumat lanjut, hubungi Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah menerusi talian +2023761 0013 atau +2 012 0027 6388 atau e-mel ke mwcairo@kln.gov.my.
 
Dalam kejadian semalam, sebutir bom meledak di Masjid Al Rawdah di Wilayah Sinai utara, Mesir dan ia diikuti serangan bersenjata oleh beberapa penyerang ke arah jemaah yang melarikan diri.
 
Masjid yang terletak kira-kira 40 kilometer di barat ibu kota Sinai di Utara El-Arish itu, sering dikunjungi penganut Sufi yang dianggap kumpulan Daesh dan Islam lain sebagai sesat.
 
 

Tiada ulasan: