HALAMAN SANTAI

Jumaat, 17 November 2017

6 warga China mengaku tak bersalah merusuh

MALAYSIAKINI
 


6 warga China yang disyaki merusuh ketika pemeriksaan polis di premis mereka yang menjadi tempat kegiatan judi pada Sabtu lalu mengaku tidak bersalah dan meminta untuk dibicarakan.
Mereka didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini.

Kesemua tertuduh - lima lelaki dan seorang perempuan - merupakan pekerja tapak pembinaan berusia antara 26 hingga 51 tahun didakwa bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Zhao Jianzhong, 51; Cao Yong Jun; Wu Yinhua, 26; Zhu Suhong, 46; Zhang Jinping, 48, dan Guo Jianhui, 51, didakwa menyerang dan menyebabkan kecederaan kepada empat anggota polis dari Balai Polis Tun HS Lee, di No 7A, Jalan Abraham Off Jalan Imbi, pada kira-kira pukul 11.36 malam 11 November lalu.

Dakwaan dibaca dalam bahasa Mandarin oleh penterjemah mahkamah.

Kesemua tertuduh diwakili peguam Dexter Chua, yang memohon agar mahkamah membenarkan mereka diikat jamin.

Timbalan Pendakwa Raya K Vasugi pula meminta agar permohonan itu ditolak.

Namun,Majistret Siti Radziah Kamarudin membenarkan ikat jamin kepada tertuduh wanita, Zhu Sulong, dengan nilai RM8,000 berserta dua penjamin.

Jika didapati bersalah, mereka bakal berhadapan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Shaharuddin Abdullah dilaporkan berkata polis terpaksa melepaskan empat das tembakan amaran ketika menyerbu premis disyaki menjadi tempat pekerja warga China bermain judi.

"Semasa membuat pemeriksaan di rumah tersebut, (anggota) telah diserang sekumpulan 20 hingga 30 lelaki disyaki warga China.

"Keadaan tidak terkawal dan anggota telah melepaskan empat das tembakan amaran untuk mempertahankan diri. Tiada kecederaan dilaporkan," katanya dalam satu kenyataan 12 November lalu.

Beliau turut memaklumkan sejumlah 200 pekerja warga China tinggal di kawasan tersebut.


Tiada ulasan: