HALAMAN SANTAI

Rabu, 22 November 2017

Ibu tunggal mengaku curi harta jemaah di masjid

 
Wanita itu akan berpura-pura bersembahyang di bahagian wanita, sebelum mencuri barang berharga jemaah yang menunaikan solat dengan khusyuk, untuk melangsaikan hutang ah long sebanyak RM10,000.


Anuar-Omar_curi


GEORGE TOWN: Seorang ibu tunggal yang mempunyai 4 anak ditahan kerana mencuri barang kepunyaan jemaah di Masjid Al-Malik Khalid Universiti Sains Malaysia, di sini, malam tadi.

Polis mengesahkan suspek yang merupakan pemandu Uber sepenuh masa itu positif dadah jenis metamfetamina selepas dia ditangkap berdekatan Mesin Juruwang Automatik (ATM) di kampus Gelugor itu.

Wanita berusia 38 tahun itu memberitahu polis, dia akan berpura-pura bersembahyang di bahagian wanita dan mencuri barang berharga jemaah ketika mereka menunaikan solat dengan khusyuk.

Beliau ditangkap polis bantuan yang meronda kawasan itu selepas solat Maghrib.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Anuar Omar berkata, wanita itu mengaku mencuri barangan bernilai RM20,000 sejak Januari tahun ini.

Beliau berkata, suspek mendakwa dia mencuri bagi melangsaikan hutang ah long sebanyak RM10,000.

Anuar berkata, wanita itu mempunyai 4 rekod jenayah lampau termasuk mencuri, memiliki dan menagih dadah.

Katanya, suspek mempunyai 4 anak berusia 7 hingga 17 tahun, dengan salah seorang daripadanya kelainan upaya.

“Semasa soal siasat, wanita itu memberitahu kami, dia hanya menyasarkan barang mahal seperti beg tangan, barang kemas dan telefon bimbit.

“Dia kata sesetengah barang itu digadaikan untuk wang,” kata Anuar pada sidang akhbar hari ini.

Katanya, polis merampas 2 surat pajak gadai, 4 resit jualan kedai telefon bimbit, 3 beg tangan pelbagai jenama dan 1 telefon bimbit.

Wanita itu direman 4 hari sejak semalam untuk disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri

Tiada ulasan: