HALAMAN SANTAI

Rabu, 22 November 2017

Pemimpin PH sendiri ramai tak hadir Dewan Rakyat

Manzaidi Mohd Amin
Syed Ahmad Fadhli


KUALA LUMPUR – Sejak kelmarin, kecoh di media sosial berhubung berita pihak kerajaan hampir kalah dalam undian Bajet 2018 dengan keputusan 52 menyokong, 51 menolak dan dua berkecuali.

Oleh kerana Pakatan Harapan (PH) kalah dengan majoriti satu undi, tidak semena-mena gabungan pembangkang itu menyalahkan Pas.

Menurut Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen Pas, Syed Ahmad Fadhli, undian pada malam itu adalah berkaitan meluluskan bajet untuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi tahun 2018, bukan usul untuk kenaikan kos sara hidup dan harga petrol.

Katanya, bajet KPDNKK berjumlah RM1.43 bilion yang lulus dengan majoriti tipis itu adalah untuk melaksanakan program pembangunan perdagangan dalam negeri, pembangunan koperasi, pendayaupayaan pengguna dan kecemerlangan organisasi.

Sehubungan itu, jelas beliau, ketika undian belah bahagi peringkat dasar Bajet 2018 berlangsung 13 November lalu, sudah ada keputusan secara kolektif lebih awal untuk Ahli Parlimen Pas berkecuali atas sebab yang sidah dijelaskan sebelum ini.

“Namun, undian belah bahagi di peringkat jawatankuasa (KPDNKK) seperti yang berlaku malam itu adalah perkara di luar jangka.

“Ia berlaku secara mengejut tanpa sempat Ahli Parlimen Pas mengadakan mesyuarat precouncil bagi membuat keputusan secara kolektif,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini semalam.

Kata Syed Ahmad, dalam senario itu bagaimanapun terbukti walaupun hanya dua Ahli Parlimen Pas berkecuali, ia menjadi penentu keputusan sama ada kerajaan berjaya meluluskan bajet atau PH berjaya dalam operasi serang hendap undian belah bahagi tersebut.

Ujar beliau, keputusan Pas berkecuali adalah pendirian parti yang telah dizahirkan ketika pengundian bajet bagi tahun 2016 dan 2017 lagi.

“Ini kerana, Pas berpandangan terdapat unsur yang bermanfaat untuk rakyat seperti subsidi dan ada juga elemen negatif seperti GST yang menyusahkan rakyat.

“Maka, kita memilih untuk berkecuali iaitu tidak menyokong sepenuhnya dan menolak sepenuhnya bajet tersebut.

“Hakikatnya, PH telah gagal dalam pengundian malam itu, tetapi Pas pula dipersalahkan sebagai punca kekalahan mereka. Adakah ini adil?” ujar beliau.

Beliau berkata, mungkin ramai tidak tahu terdapat lebih 20 Ahli Parlimen PH tidak hadir ketika pengundian berlangsung, sedangkan Pas hanya enam orang sahaja.

Katanya, antara pemimpin besar PH yang tidak hadir ialah Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Permatang Pauh); Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah); Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin (PPBM-Pagoh); Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak); Pengerusi DAP, Tan Kok Wai (DAP-Cheras); dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai).

“Senarai nama ini panjang lagi, cuma sebaiknya PH bertanyalah kepada pemimpin mereka yang tidak hadir ini. Adakah mereka ponteng dewan? Adakah mereka berkecuali?

“Bukankah ketidakhadiran mereka ini adalah punca utama kegagalan PH dalam operasi serang hendap pengundian pada malam itu,” katanya.

Beliau menasihatkan kepada pemimpin dan penyokong PH agar berhenti membuat fitnah dan mengkambing hitamkan Pas demi menutup kegagalan strategi mereka.

“Kononnya, undian semalam untuk kenaikan kos sara hidup dan harga barang, sedangkan sebenarnya undian itu adalah untuk meluluskan Bajet KPDNKK beroperasi,” ujarnya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: