HALAMAN SANTAI

Jumaat, 17 November 2017

PPBM nafi lewat mohon tangguh AGM daripada RoS

Oleh Nur Atiqah Abdul Samad
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menafikan pihaknya lewat mengemukakan permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk melanjutkan mesyuarat agungnya (AGM), yang sepatutnya diadakan selepas genap setahun penubuhan.
 
Ketua Penerangannya Datuk Kamaruddin Mohd Noor bertegas PPBM sudah mengemukakan permohonan berkenaan pada bulan Julai lalu, tetapi sehingga kini tidak mendapat maklum balas dari agensi berkenaan. 
 
PPBM genap setahun pada 8 September 2017.
 
"Tak betul, kita dah hantar bulan Julai lagi. Kita ada surat untuk buktikan bahawa kita dah hantar permohonan tu," katanya kepada Antarapos.
 
Sebelum ini, Kamaruddin ada memberitahu Antarapos bahawa parti itu memperoleh tempoh lanjutan sehingga 18 bulan untuk mengadakan mesyuarat agungnya, iaitu setahun setengah selepas penubuhan PPBM pada 8 September 2016.
 
Namun semalam, RoS melalui Ketua Pengarahnya Surayati Ibrahim, bahawa PPBM baru mengemukakan rayuan pada bulan ini, iaitu selepas parti itu berdepan pelbagai isu yang menyebabkan ahlinya rasa ditipu dan hilang kepercayaan. 
 
Ketika ditanya, adakah PPBM ada menghubungi pihak RoS untuk mengetahui status permohonan berkenaan, Kamaruddin berkata tiada tindakan susulan dibuat dan pihaknya menganggap ia sudah diluluskan RoS.
 
Kata beliau lagi, sekiranya RoS tidak bersetuju, agensi berkenaan perlu memaklumkan kepada parti.     
"Kita dah hantar surat (penangguhan) bulan Julai lagi, sekarang ni dah bulan 11. Sudah empat bulan (berlalu), dalam empat bulan tu tak ada apa-apa maklum balas (sama ada) tak boleh atau apa ke jadi kita kira (perkara tu) bolehlah.
 
"Kalau tak boleh kenapa tunggu sampai empat bulan? Sampai sekarang tak ada apa-apa jawapan lagi sebenarnya," katanya.
 
Tambah beliau lagi, PPBM akan mengadakan satu perjumpaan dengan RoS pada 30 November ini untuk mendapatkan penjelasan dan panduan tentang masalah yang melanda parti tajaan Tun Dr Mahathir Mohamad itu.
 
Malah katanya, parti itu akur dengan segala yang keputusan yang dibuat RoS, sekiranya dikehendaki mengadakan mesyuarat tahunan.
 
"Kita bersedia untuk akur saja apa yang dicadangkan daripada RoS," katanya. 
 
RoS sebelum ini memaklumkan PPBM berdepan risiko dibatalkan pendaftarannya dan tidak dapat mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) jika gagal mengadakan AGM.
 
 

Tiada ulasan: