KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Datuk Ahmad Maslan menyelar individu yang menyebar fitnah kepadanya
sebagai bodoh, susulan kenaikan harga minyak semalam.
Sambil menafikan bahawa beliau mengatakan kerajaan menaikkan harga petrol bagi mengurangkan kemalangan jalan raya.
Menerusi Twitter hari ini, Ahmad berkongsikan infografik yang
memaparkan gambarnya dengan mesej berbunyi "Kerajaan menaikkan harga
minyak untuk mengurangkan kemalangan jalan raya - Ahmad Maslan".
"Infografik yang disebar ini fitnah bodoh. Dahlah fitnah, bodoh pula," tegas anggota parlimen Pontian itu.
Ahmad berkata beliau telah memaklumkan kepada Suruhanjaya Komunikasi
dan Multimedia (SKMM) supaya tindakan diambil terhadap mereka yang
bertanggungjawab menyebarkan mesej itu di media sosial.
"Pegawai saya juga akan membuat laporan Polis, #PDRM. Kita mesti
#PerangiFitnahMediaSosial #SemakSebelumSebar juga #FikirSebelumTular.
Saya harap mereka yang terlibat akan diambil tindakan, ujar beliau.
Menurut Ahmad beliau tidak pernah menyebut kenyataan itu memandangkan
harga minyak bukan terletak di bawah bidang kuasa kementeriannya.
"Apa hal saya nak sebut tentang harga minyak, bukan bawah MITI. Harga
minyak Malaysia ikut harga minyak dunia, bukan kerajaan yang naik atau
turunkan. #SKMM elok tangkap mereka ini!" katanya.
Harga petrol terus meningkat minggu ini, iaitu RON95 naik tujuh sen
kepada RM2.38 seliter manakala RON97 naik enam sen kepada RM2.66
seliter.
Sementara itu, harga diesel meningkat sebanyak lima sen kepada RM2.25
seliter, juga mencecah paras tertinggi baru di bawah sistem apungan yang
diperkenal Mac lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan