Oleh Athirah Hanapiah
KUALA LUMPUR: Umno diingatkan untuk tidak menjadikan Perhimpunan Agung
tahunannya yang akan diadakan beberapa hari lagi menjadi medan untuk
para perwakilan parti itu menyampaikan isu-isu retorik semata-mata.
Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali Syed Abbas Alhabshee
berkata, isu-isu berkenaan tidak membantu parti itu bagi menghadapi
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti, malah hanya akan menjadi bahan
cemuhan rakyat sahaja.
"PAU kali ini adalah gelanggang untuk merumus dan menguatkan formula perjuangan memenangi PRU, kita tidak rela Umno kecundang.
"Jangan biarkan rakyat terutama orang Melayu kecewa dengan isu-isu retorik, mereka sedang memerhati (Umno) di luar sana.
"Para perwakilan dan seluruh ahli-ahli UMNO menjadikan ucapan dasar
presiden sebagai sandaran untuk memperkukuhkan parti terutama di
peringkat akar umbi," katanya.
Memetik catatannya di laman blog Umno Bahagian Cheras, Syed Ali
berpandangan Perhimpunan Agung Umno (PAU) pada kali ini adalah berbeza
dengan tahun sebelumnya.
Ini kerana menurutnya, PAU kali ini merupakan perhimpunan terakhir bagi parti itu sebelum berlangsungnya PRU14.
Justeru katanya, PAU pada kali ini akan lebih diberi perhatian oleh
rakyat khususnya orang Melayu bagi melihat sejauh mana kekuatan jentera
parti itu bagi mendepani pembangkang kelak.
"Rakyat terutama orang Melayu akan menilai sejauhmana kekuatan dan
persediaan UMNO meneruskan kelangsungan perjuangannya membela nasib
mereka," katanya lagi.
Sementara itu, Syed Ali berkata perwakilan kali ini juga menunggu
apakah mesej yang bakal dijelaskan oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib
Tun Razak menerusi ucapan dasar presiden pada perhimpunan tersebut.
Presiden mungkin beri perhatian PRU14
Menurut Setiausaha Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan itu,
ucapan Najib pada kali ini dijangka bakal memberikan mesej serta
peringatan yang lebih terbuka kepada seluruh ahli-ahli parti untuk
menentang asakan pihak pembangkang.
Malah beliau percaya, pada perhimpunan kali ini, Najib akan memberikan
perhatian khusus mengenai persiapan parti disemua peringkat.
Oleh sebab itu katanya, para perwakilan diyakini tidak akan
membangkitkan sebarang isu yang menyentuh mengenai pertandingan jawatan
dalam parti.
"Isu perebutan jawatan dalam parti tidak timbul buat masa ini (PAU),
yang penting bagaimana untuk UMNO menumbangkan blok pembangkang pada
PRU akan datang," katanya.
"Sekarang kita tumpukan kepada pilihan raya, soal pemilihan dalam parti cerita lain," tegasnya lagi.
Syed Ali berkata, tidak ada gunanya untuk berebut jawatan dalam parti
jika UMNO kalah pada PRU ke-14 kerana untuk bangkit semula bukan sesuatu
yang mudah untuk dilakukan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan perhimpunan kali ini dilihat sebagai
waktu yang terbaik bagi para perwakilan dan barisan kepimpinan parti
untuk menilai semula kekuatan Umno.
Ujarnya, kesemua para perwakilan diberikan hak untuk melontarkan
sebarang cadangan atau pandangan tentang bagaimana mahu memastikan Umno
mampu untuk mencapai kemenangan pada pilihan raya kali ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan