HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 November 2017

Kegiatan kongsi gelap di sekolah perlu dibendung segera, kata MP DAP



Bertindak segera, kata Sivakumar.


Kegiatan kongsi gelap di sekolah didakwa semakin tenat dan perlu pembetulan segera, kata Timbalan Setiausaha Agung DAP, V Sivakumar.

Katanya, kebelakangan ini, isu kegiatan kongsi gelap di kalangan pelajar-pelajar sekolah menjadi semakin ketara.

“Sewaktu perbahasan Bajet 2018 di peringkat Jawatankuasa, saya telah membangkitkan isu penglibatan pelajar-pelajar sekolah dalam kegiatan kongsi gelap,” kata ahli parlimen Batu Gajah itu dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, sering didengari bahawa sekolah menengah menjadi sasaran kumpulan kongsi gelap untuk merekrut anak buah yang baru.

Pelajar-pelajar, katanya, dipukau dengan pelbagai pemberian mewah dan wang ringgit yang lumayan.

“Tetapi, saya tidak nampak inisiatif yang serius untuk membendung masalah ini,” katanya bimbang.
Pergaduhan diantara kumpulan-kumpulan kongsi gelap dan kes-kes buli amat kerap berlaku di sekolah-sekolah menengah, katanya.

“Saya telah meminta Menteri Pendidikan menyatakan jumlah kes kongsi gelap yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah.

“Apakah tindakan yang telah diambil oleh pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan Negeri terhadap pelajar-pelajar yang ditangkap terlibat dengan kegiatan kongsi gelap?

“Apakah langkah-langkah pencegahan yang diambil oleh kerajaan untuk menghindar pelajar-pelajar sekolah terlibat dalam kumpulan-kumpulan kongsi gelap?” soal beliau.

Beliau berpendapat bahawa Kementerian Pendidikan harus menjalankan satu kajian terperinci mengenai isu penglibatan pelajar-pelajar dalam kongsi gelap.

Ini adalah penting untuk menyelamatkan anak-anak kita daripada gejala negatif yang boleh merosakkan masa hadapan mereka, katanya.

“Penglibatan dalam kumpulan kongsi gelap ini akan mendorong mereka melakukan jenayah seperti mengedar dadah, mencuri, membunuh dan sebagainya,” katanya.

Walaupun faktor persekitaran boleh dianggap sebagai penyebab utama kegiatan kongsi gelap, peranan ibubapa dan guru-guru sekolah juga tidak boleh dipandang ringan.

“Ibubapa harus memerhati segala tindak tanduk dan kegiatan anak-anak mereka. Disamping itu, perubahan perwatakan anak-anak harus sentiasa diawasi.

“Guru-guru sekolah juga harus mengenal pasti dan bertindak tegas terhadap murid-murid yang mempunyai sifat atau perwatakan jahat dan luar biasa,” katanya yang juga Ketua Setiausaha Pakatan Harapan Perak itu.

Pentadbir sekolah, katanya, harus memastikan pihak luar terutamanya anggota kumpulan kongsi gelap tidak memasuki kawasan sekolah dan persekitarannya.

Antaranya dengan melarang pelajar-pelajar sekolah mengadakan hubungan komunikasi dengan anasir-anasir jahat di luar.

Pihak polis juga, katanya, harus mengadakan rondaan yang kerap di kawasan persekitaran sekolah untuk memastikan keselamatan pelajar-pelajar.

Ini juga boleh mencegah pelajar-pelajar daripada pengaruh kongsi gelap.

“Kementerian Pendidikan dengan kerjasama polis harus memastikan anak-anak kita di sekolah selamat daripada dipengaruhi oleh kongsi gelap,” kata beliau.

Tiada ulasan: