Tan Kok Wai mempertikaikan keputusan membenarkan
seorang timbalan menteri menyatakan "andaian" mendakwa beliau
bersekongkol dengan operator judi dan tidak perlu menarik balik
kenyataan.
KUALA LUMPUR: Timbalan Speaker Datuk Seri Ronald Kiandee mengarahkan Tan Kok Wai (DAP-Cheras) keluar Dewan Rakyat kerana enggan menerima keputusannya.
Ini selepas Tan terus mempertikaikan keputusan membenarkan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Loga Bala Mohan menyatakan “andaian” orang ramai mendakwa Tan bersekongkol dengan operator pusat judi di Cheras, dan tidak perlu menarik balik kenyataan itu apabila diminta.
Sedangkan sebelum itu, wakil rakyat DAP itu dminta menarik balik “tanggapan” orang ramai mendakwa Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor korup.
“Saya tidak akan duduk kalau timbalan menteri tidak tarik balik sangkaan fitnah dan tidak berasas berkenaan. Kalau berani ulang kenyataan di luar Dewan Rakyat,” kata Tan.
Undang-undang memberikan kekebalan kepada wakil rakyat semasa berhujah di dalam Dewan Rakyat. Bala bagaimanapun enggan mengulangi kenyataan itu di luar Dewan Rakyat.
“Saya tidak menuduh. Kalau saya salah, saya tarik balik tetapi saya tidak menuduh Cheras. Saya kata ini andaian yang dikatakan di luar,” kata Bala.
Ronald menerima penjelasan itu dan berkata timbalan menteri tidak menuduh Tan.
“Saya sudah buat keputusan. Tadi saya minta menteri tarik balik tetapi setelah saya dengar, saya terima penjelasan itu,” katanya.
Tan berkata, beliau tidak menerima layanan sama rata dari speaker Dewan Rakyat memandangkan situasi sama berlaku.
“Saya sudah tarik balik, kenapa dia (Bala) tidak boleh. Kenapa tidak boleh pengadilan yang sama,” katanya.
Tan masih tidak berpuas hati dan terus berdiri sehinggalah Ronald mengarahkan beliau keluar Dewan Rakyat.
Sebelum itu, di sesi yang sama, Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia meminta Tan menarik balik “tanggapan” orang ramai mendakwa Tengku Adnan seorang menteri korup.
“Untuk pengetahuan, ramai orang di Kuala Lumpur tidak anggap Menteri Wilayah Persekutuan ini sebagai menteri dan Yang Berhormat, tetapi sebagai menteri korup,” kata Tan.
“Ini bukan niat jahat saya, ini merupakan ungkapan dan tanggapan orang ramai. Berlaku banyak skandal yang tidak dijelaskan kepada orang ramai,” tambahnya.
Pandikar selepas mendengar penjelasan itu meminta Tan menarik balik kenyataan tersebut dan permintaan itu dipatuhi Tan.
“Saya menghormati Tan Sri Speaker, saya tarik balik perkataan menteri korup dengan menteri tidak ada integriti,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan