HALAMAN SANTAI

Selasa, 21 November 2017

Tok Pa sedih Kelantan tak hargai bantuan pusat

MALAYSIAKINI



DUN KELANTAN l Kerajaan negeri dituntut mencari sumber pendapatan lain tanpa mengharapkan bantuan daripada kerajaan pusat bagi mencapai belanjawan lestari dengan kewangan lebih kukuh.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata, kerajaan negeri memerlukan RM50 juta hingga RM60 juta setiap tahun bagi belanja mengurus, tidak termasuk geran untuk penyelenggaraan jalan raya berjumlah RM180juta hingga RM200 juta setahun.

Beliau berkata, kadar pertumbuhan Kelantan yang mencecah 4.8 peratus pada tahun lalu juga disokong oleh pelbagai projek pembangunan dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan persekutuan.

"Kerajaan persekutuan pimpinan BN membelanjakan sebanyak RM6.3 bilion pada tahun lepas merangkumi RM5.2 bilion bagi belanja mengurus dan RM1.1 bilion bagi pembangunan, manakala kerajaan negeri hanya membelanjakan sebanyak RM961 juta pada tahun lalu.

"Nisbahnya 6:1 ataupun dalam bahasa mudahnya, kerajaan persekutuan membelanjakan sebanyak RM6 bagi setiap RM1 yang dibelanjakan (kerajaan negeri) Kelantan," katanya ketika membahaskan Bajet 2018 yang dibentangkan kerajaan Kelantan sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.


Kerajaan Kelantan yang ditadbir parti PAS semalam membentangkan Bajet 2018 dengan anggaran defisit sebanyak RM41.74 juta berbanding RM42.65 juta dalam Bajet 2017, menyasarkan perolehan hasil sebanyak RM696.90 juta.

Mustapa yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas turut melahirkan rasa sedih terhadap pentadbiran kerajaan negeri yang tidak menghargai pelbagai bantuan yang dihulurkan oleh kerajaan persekutuan terutama di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, kerajaan pusat memberi pelbagai bantuan terutama membangunkan projek di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) yang gagal dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

"Dalam perlembagaan, kerajaan persekutuan tidak perlu membangunkan projek di bawah PBT seperti pembinaan pasar basah, taman awam ataupun masjid, namun kita tetap laksanakan untuk membantu rakyat.

"Kita sedih kerana banyak perubahan yang dibawa oleh Najib berbanding Tun Dr Mahathir Mohamad namun kerajaan negeri masih tidak dihargai," katanya.

Tiada ulasan: