HALAMAN SANTAI

Selasa, 21 November 2017

HARAPAN tak perlu risau, ROS tahu buat kerja, kata Shahidan

MALAYAIAKINI



Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak perlu risau berhubung kelulusan pendaftaran gabungan parti pembangkang itu.

Menurutnya, ini kerana Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) profesional dalam hal berkenaan.

"Tidak mungkin KDN nak sabotaj (pendaftaran HARAPAN). Tun M (Dr Mahathir Mohamad) pun pernah jadi perdana menteri. Tidak mungkin KDN buat kerja-kerja itu.

"Pada saya mereka (ROS) adalah profesional (dalam memberi kelulusan kepada sebuah parti).

"Jadi mereka (HARAPAN) tidak perlu risau,” kata Shahidan kepada pemberita di parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pertemuan Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Ketua Setiausaha, Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim semalam.

 
Hadir bersama adalah Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Pengerusi DAP, Tan Kok Wai.

Pada pertemuan itu Mahathir diberitahu gabungan parti berkenaan belum diluluskan disebabkan masalah yang dihadapi DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid pada sidang medianya, di Parlimen, semalam, menafikan kelewatan pendaftaran HARAPAN kerana campur tangan beliau.

Sebelum ini, ROS pernah memberi amaran kepada BERSATU atas dakwaan melakukan tiga kesalahan.

Kesalahan itu adalah tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan, menubuhkan sayap pemuda dikenali sebagai ARMADA dan menangguhkan mesyuarat agung tanpa peruntukan dalam perlembagaan parti sehingga boleh menyebabkan parti itu dibatalkan.

Masalah DAP pula berkaitan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) sebelum ini yang didakwa tidak sah sehingga memaksa parti itu terpaksa mengadakannya semula, baru-baru ini.

Tiada ulasan: