Oleh Abdul Rahman Malik
[ULASAN] Agak
mustahil jika difikirkan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad tidak dapat
menjangka ada sesuatu yang tidak kena dengan permohonan empat parti
pembangkang yang dipimpinnya dalam Pakatan Harapan (PH) untuk berdaftar
sebagai sebuah entiti politik.
Sebagai seorang ahli politik veteran yang terkenal dengan ketegasan dan
disiplin “hati keringnya” sebagai seorang doktor, sudah tentu beliau
tidak akan membiarkan permohonan itu dipeti-sejukkan oleh Pendaftar
Pertubuhan Malaysia (RoS).
Dr
Mahathir pernah membuat pengakuan bahawa sebagai seorang doktor,
falsafah pentadbirannya ialah jika sesuatu isu itu perlukan tindakan
segera beliau sentiasa bersedia melakukannya demi ‘menyelamatkan
kepentingan lebih besar’.
Lantas bila beliau merungut dan memaksa diri untuk menemui Menteri
Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ia menjentik sedikit
keraguan sama ada beliau sebenarnya hanya ‘berlakon’ untuk menjadikan
isu berkenaan suatu sensasi politik.
Nasibnya agak kurang baik kerana pada Isnin 20 November lalu tarikh
beliau mahu bertemu Zahid, kebetulan Timbalan Perdana Menteri yang
pernah ditahannya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana
dilihat condong kepada politik saingannya, Anwar Ibrahim, Zahid tiada di
pejabat.
Maka beliau dan beberapa panglima pembangkang terpaksa berhadapan
dengan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi
Ibrahim sahaja. Ketika itu seharusnya Dr Mahathir sedar beliau tidak
mengamalkan falsafah kedoktorannya.
Lazimnya Dr Mahathir akan bertindak menyemak mengapa tiada jawapan
tuntas daripada pihak RoS. Jika beliau menggunakan naluri kedoktorannya
dan mengambil tindakan susulan, pasti beliau sudah mendapat jawapan
daripada RoS lebih awal lagi.
Dr Mahathir diberitahu bahawa adalah sukar memproses permohonan PH itu
kerana ada dua parti yang memohon untuk bergabung di bawah panji-panji
PH itu menghadapi masalah melanggar pra-syarat pendaftaran.
Rekod pengurusan DAP selekeh. RoS sudah berkali-kali mengarahkan parti
berkenaan memperbaiki proses pemilihan barisan peringkat Jawatankuasa
Eksekutif Pusatnya (CEC).
Namun DAP memandang ringan isu itu.
Begitu juga dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang
dipimpinnya sendiri. Walaupun perlembagaan parti menetapkan bahawa
mesyuarat agungnya mesti dilaksanakan dalam tempoh setahun penubuhannya,
tindakan itu masih belum diambil.
Tambahan pula, “penyelewengan” dengan menggunakan rujukan Armada untuk
sayap pemuda parti itu juga adalah bercanggah dengan peraturan penubuhan
PPBM.
Keadaan ini diburukkan lagi dengan banyak laporan daripada ahli akar
umbi parti itu langsung kepada RoS berhubung pelbagai tatacara
pengurusan PPBM yang dikatakan tidak telus dan ada tuduhan berlaku
penyelewengan kuasa.
PH tak layak tadbir negara - PAS
Kelemahan PPBM ini mengundang komentar sinis entiti politik seperti PAS
yang menganggap kegagalan menyelesaikan masalah remeh pendaftaran itu
sebagai dalil parti itu tidak layak mentadbir negara ini.
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, PPBM tidak
mempunyai kualiti kepimpinan apabila soal pendaftaran dan kegagalan
mengadakan mesyuarat agung parti tidak dapat diselesaikan.
"Semua
ini menunjukkan kelemahan pengurusan. Tidak sepatutnya seorang pemimpin
yang pernah jadi seorang perdana menteri selama 22 tahun, tiba-tiba nak
urus pendaftaran dan pengurusan parti pun tak boleh selesai … macam
mana nak dapatkan sokongan masyarakat," katanya.
Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berpendapat
kegagalan PH itu adalah peluang kepada PAS untuk bertanding satu lawan
satu dengan BN.
"Bagi kita kalau tak ada langsung Pakatan Harapan lebih baik... biar PAS sahaja yang lawan dengan Umno (dan BN)," katanya.
Bagaimanapun kunjungan Dr Mahathir dan juak-juak politiknya ke RoS ada juga kebaikannya.
Sekurang-kurangnya RoS bersedia memberi ruang pada PPBM mengemukakan
cadangan bagaimana melaksanakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM)
berdasarkan situasi terkini parti itu.
Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sikap RoS itu masalah
PPBM dan PH itu akan menemui jalan penyelesaian tidak lama lagi.
“InsyaAllah dalam tempoh masa satu hingga dua hari ini, kita akan
hantar surat cadangan tersebut kepada RoS dan selepas mereka terima,
kita akan duduk bersama untuk meneliti bentuk cadangan sesuai yang boleh
dilaksanakan,” katanya selepas bertemu Ketua Pengarah RoS, Surayati
Ibrahim.
Di samping itu, DAP juga berjanji akan menghantar laporan audit
mengenai pemilihan semula CEC parti itu kepada RoS selewat-lewatnya
minggu ini.
Menurut Pengerusi DAP, Tan Kok Wai, tindakan itu perlu dilakukan segera bagi elak masalah pendaftaran ke atas Pakatan Harapan.
"Walaupun mengikut undang-undang RoS, DAP mempunyai 60 hari untuk menghantar laporan proses pemilihan kepada RoS.
"Bagaimanapun, saya telah mengarahkan syarikat audit yang terbabit
dalam pemilihan semula CEC itu segerakan kerja mereka," katanya.
DAP terpaksa mengadakan pemilihan semula CEC kerana pemilihan sebelum
ini didakwa tidak sah kerana RoS tidak menerima dan mengiktiraf
pemilihan parti yang dijalankan pada 15 Disember 2012 dan pemilihan
semula pada 29 September 2013.
Yang
lebih menarik ialah, Timbalan Presiden PH, Mohamad Sabu juga memilih
untuk tidak bersikap keras dan pedas seperti Dr Mahathir terhadap RoS
dengan enggan menuduh kelewatan pendaftaran parti itu ada kaitan dengan
unsur sabotaj.
Sebaliknya, beliau memberi komitmen bahawa PH akan sentiasa memberi
kerjasama kepada RoS agar isu berkenaan dapat diselesaikan segera.
“Kami tidak mahu menggunakan perkataan sabotaj atau apa-apapun. Bila
dah diberitahu lewat kerana DAP dan Bersatu, kami akan cepat-cepat
menyelesaikannya,” katanya.
Dr Mahathir kelihatan cuba menonjolkan sisi kekuatan PH apabila hampir
semua pemimpin utamanya dibawa untuk “menyergap” Kementerian Dalam
Negeri dan RoS.
Namun ada pihak yang menafsirkan bahawa ia cuma satu “gempak politik” sahaja.
Ego politik Mahathir masih besar. Bagaimanapun Wan Azizah Wan Ismail,
Muhyiddin Yassin, Mohamad Sabu dan Tan Kok Wai, sedar wayang politik
seperti itu tidak akan menghasilkan natijah yang baik buat PH. Mereka
memilih mengambil sikap berlembut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan