HALAMAN SANTAI

Ahad, 26 November 2017

Kenapa baru sekarang Hindraf muncul? soal penganalisis

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic


SHAH ALAM: Parti Hindraf dipertikai berikutan hanya 'muncul kembali' beberapa bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) diadakan.

Penganalisis politik, Dr Jeneri Amir berkata rakyat, khususnya pengundi kaum India akan bertanya mengapa Hindraf begitu senyap dan tidak seperti parti politik lain yang sentiasa 'ada' untuk membela pengikutnya.

"Orang akan mempertikaikan mengapa penggemblengan terhadap usaha, isu dan sebagainya ini hanya berbangkit pada bulan-bulan terakhir pilihan raya, sedangkan dulu (PRRU13) momentumnya begitu kuat dan sekarang lembik dan lembab?

"Hindraf pada kali ini sudah kehilangan 'gigi', gerakannya kini sudah kehilangan 'gigi' dan ini akan memberi kesan dari segi pola pengundian, peratusan pola pengundian yang tidak lagi menyokong BN," katanya ketika dihubungi Antarapos.

Jeniri berkata tidak mustahil penyertaan Hindraf ke dalam PH akan menyebabkan pengundi India mengalihkan sokongan kepada seteru politik gagasan itu.

"Jadi ini secara langsung akan memberi kesan kepada pengundi India yang akan belot kepada pembangkang," katanya lagi.

Hindraf atau Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu adalah pergerakan kaum India yang terkenal dengan protes besar-besaran beberapa bulan sebelum PRU 2008.

Protes itu seterusnya menjadi pencetus kepada peralihan sokongan politik pengundi berbangsa India kepada pembangkang, yang menyaksikan BN tewas di kerusi dengan penduduk kaum India yang ramai.

Bagaimanapun, Hindraf di bawah P. Waythamoorthy mengalihkan sokongan kepada pentadbiran Datuk Seri Najib Razak selepas persefahaman dengan BN pada kempen PRU 2013.

Waythamoorthy turut dilantik sebagai senator dan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri namun meletak jawatan kurang setahun selepas itu kerana mendakwa BN gagal menunaikan janji membantu masyarakat India.

Pada Ogos tahun ini pula, Hindraf mengumumkan mahu bekerjasama dengan PH bagi membantu gagasan pembangkang itu mendapatkan sokongan kaum India di luar bandar dan separa bandar dan menolak Umno-BN dalam PRU14.

"Hindraf dulu dan Hindraf sekarang adalah dua Hindraf yang berlainan dari segi kesannya dan juga dari segi kepimpinannya yang secara langsung akan memberi kesan terhadap pengundian yang tidak lagi memihak kepada BN.

"Kalau dulu rasa tidak puas hati itu begitu menyeluruh dan berupaya untuk dibangkitkan dengan banyaknya tunjuk perasaan, demonstrasi jalanan dilakukan Hindraf, tetapi sekarang kita lihat tidak berlaku sedemikian," kata Jeniri.

Bagaimanapun setakat Oktober, PH memaklumkan ia belum lagi menerima permohonan rasmi Hindraf untuk bekerjasama.

Tiada ulasan: