HALAMAN SANTAI

Sabtu, 25 November 2017

Nazri: Usul kekal presiden, timb presiden Umno akan dibawa

MALAYSIAKINI



Dalam pilihan raya parti akan datang, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan dikekalkan sebagai presiden Umno dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan presiden, kata anggota majlis tertinggi Umno Datuk Seri Nazri Aziz.

Nazri yang merupakan ketua Umno Bahagian Padang Rengas memberitahu The Star bahawa Umno bahagiannya akan mengusulkan dalam perhimpunan agung Umno akan datang agar kedua-dua jawatan itu tidak dipertandingkan

Menurut laporan akhbar hari ini, tindakan itu dibuat bagi memastikan tiada gangguan menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang akan datang.

“Ini merupakan resolusi yang diutarakan bahagian saya dan kami mahu ia dibahas dan diluluskan dalam perhimpunan agung Umno.

“Ini bagi memastikan tiada perpecahan terjadi dalam parti,” katanya dilapor sebagai berkata dalam sebuah wawancara baru-baru ini.

Menurut Nazri mempertandingkan dua jawatan tertinggi itu hanya akan mengganggu dan menjejaskan tumpuan anggota Umno terhadap pilihan raya.

The Star turut melaporkan Nazri berkata bahawa Zahid merupakan pewaris sah jawatan timbalan presiden kerana beliau merupakan timbalan perdana menteri ketika ini.

Jawatan timbalan presiden Umno telah dikosongkan sejak Datuk Seri Muhyiddin Yassin dipecat ekoran kritikannnya terhadap skandal 1MDB dengan Zahid menggalas tugas-tugas itu sebagai pemangku.

Usul serupa agar dua jawatan tertinggi itu tidak dipertandingkan turut dibentangkan pada pilihan raya parti itu Oktober 2013 lalu yang menyaksikan Najib kekal sebagai presiden parti.

Sementara itu, berkenaan kerjaya politiknya, Nazri berkata beliau tidak mempunyai rancangan untuk bertanding jawatan naib presiden.

Nazri menambah, beliau sedia meninggalkan politik bila-bila masa dan akan patuh sekiranya Najib memberi arahan.

“Jika beliau (Najib) kata sudah sampai waktunya untuk saya pergi, maka jujur, saya dengan besar hati akan pergi. Beliau kawan saya dan saya sudah menyokongnya selama 40 tahun.

“Jadi jika saya berhenti, Najib yang perlu meminta saya berhenti.

“Bagi saya, saya cuma menunggu dan saya betul-betul mahu berhenti,” katanya.

Tiada ulasan: