HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 Disember 2018

DAP bukan MCA 2.0, PH bukan BN 2.0




Pemimpin DAP Lim Kit Siang menyatakan partinya akan menarik diri daripada Pakatan Harapan jika objektif Malaysia Baru diketepikan. Ia juga menegaskan DAP tidak akan menjadi MCA yang hanya mewakili kaum Cina saja. DAP berazam untuk mewakili semua kaum di negara ini.

Menurutnya, penyertaan DAP dalam kerajaan adalah kerana percaya mereka boleh berperanan penting bagi membina Malaysia Baru dan menyelamatkan negara daripada demokrasi palsu, kakistokrasi dan kleptokrasi global.

Tetapi apakah Malaysia Baru itu? PH tidak pernah menjelaskan apakah yang dimaksudkan sebagai Malaysia Baru. Ia tidak menjadi slogan utama yang popular semasa kempen pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei lalu. Tetapi ia timbul sebaik saja Pakatan Harapan menang pada tarikh itu. Malah bukan istilah Malaysia Baru, tetapi ia adalah lebih kepada istilah dalam bahasa Inggeris, “New Malaysia”.

Malaysia Baru hanya digunakan selepas menterjemahkan istilah “New Malaysia”.

Walaupun “New Malaysia” menggambarkan Malaysia yang dipimpin oleh PH ekoran tumbangnya pemerintahan Barisan Nasional, tetapi istilah ini lebih banyak ditampilkan oleh golongan liberal dari kalangan pendokong PH.

Sebenarnya istilah liberal ini walaupun tepat dari sudut penggunaannya di peringkat antarabangsa, namun di negara ini, ia menjadi masalah. Lebih-lebih lagi apabila ia disebut sebagai Muslim liberal. Ia merujuk kepada suatu fahaman yang dianggap ulama arus perdana sebagai sesat dari sudut agama. Ini kerana Muslim liberal dikaitkan dengan pemahaman seseorang Islam terhadap perkara-perkara yang bercanggah dengan syariah seperti menerima golongan homoseksual.

Tetapi maksud istilah liberal yang digunakan di peringkat antarabangsa pula lebih kepada soal sistem politik dan ekonomi. Itupun apa yang dimaksudkan dengan liberal di Amerika Syarikat dan Eropah adalah berbeza.

Di Amerika, fahaman politik liberal merujuk pada golongan yang menekankan kaedah campur tangan kerajaan ke dalam ekonomi untuk memberi kebajikan kepada rakyat seperti yang diperjuangkan oleh Parti Demokratik. Lawan liberal di Amerika ialah konservatif yang diwakili oleh Parti Republikan. Mereka menekankan soal kebebasan individu untuk meraih keuntungan, dan oleh itu meminimumkan campur tangan kerajaan ke dalam pasaran dan urusan ekonomi. Dalam spektrum politik, liberal di Amerika berada di tengah kiri.

Di Eropah, liberal mempunyai maksud berbeza. Liberal di Eropah tidak digolongkan sebagai kiri. Ia mempunyai kedudukan sendiri yang menekankan soal kebebasan individu, pasaran bebas dan tidak pada campur tangan kerajaan dalam masyarakat. Parti yang mewakili mereka dalam sejarah British ialah Parti Liberal yang kini dikenali sebagai Parti Liberal Demokratik apabila parti itu bercantum dengan Parti Sosial Demokratik, pecahan daripada Parti Buruh.

Di Malaysia, golongan liberal menurut istilah antarabangsa adalah mereka yang mendokong kebebasan individu, demokrasi, kesamarataan, hak asasi manusia, sekularisme dan nilai-nilai lain yang dikaitkan dengan amalan politik Barat. Apa yang dipanggil sebagai Muslim liberal juga sebahagian daripada golongan liberal Malaysia.

Tetapi ramai orang Islam turut mendokong fahaman liberal dari segi nilai-nilai positif demokrasi. Mereka bagaimanapun bukanlah Muslim liberal yang ditakrifkan secara sempit tetapi golongan ini
mendokong nilai-nilai demokratik umum tanpa bercanggah dengan akidah dan syariah Islam. Nilai-nilai demokratik ini termasuklah kesamarataan, keadilan dalam amalan moden, mendokong kemajuan dan seumpamanya.

Golongan liberal ini tidaklah sekata dalam semua perkara.

Dari segi politik, golongan liberal termasuk dalam kalangan orang Melayu dan Islam lebih hampir pada DAP yang mahu parti itu bersikap pelbagai kaum dan tentunya menolak sebarang usaha untuk menjadikan parti itu pertubuhan Cina atau MCA 2.0. Inilah yang disebutkan Lim yang mahukan DAP muncul sebagai parti Malaysia dan bukannya parti Cina, walaupun pada ketika ini, ia didominasi orang Cina.

Tidak semua golongan liberal yang menyokong DAP. Ada yang memilih PKR. Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menampilkan dirinya sebagai Muslim demokrat juga dilihat sebagai pendokong nilai-nilai liberal. Seringkali pemikir-pemikir PKR seperti yang diungkapkan melalui aktiviti Institut Kajian Dasar (IKD) menunjukkan parti itu mewakili liberalisme sekaligus dengan aliran-aliran nilai Barat termasuk neoliberalisme dan neokonservatif.

Namun Anwar mengkritik golongan yang dipanggilnya superliberal. Aliran Muslim liberal tergolong kepada superliberal ini. Ia juga membawa maksud PKR mendokong liberal sederhana. Tetapi penyokong-penyokong liberal ini lebih melaungkan slogan Reformasi daripada Malaysia Baru.

Namun Reformasi dan objektif Malaysia Baru membawa maksud sama. Apabila penyokong Anwar mendokong agenda Reformasi pada 1998, iaitu untuk melakukan pembaharuan terhadap Malaysia dengan melepaskannya daripada pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu, DAP turut mendokongnya. Maka tidak ada konflik antara Reformasi dan objektif Malaysia Baharu. Dari segi perjuangan, DAP bawah Lim adalah konsisten. Apa yang dilihat sebagai “u-turn” hanyalah dari segi pendekatan berdepan dengan situasi baru.

Sementara itu Amanah pula membawa slogan dan agenda “Rahmatan Lil Alamin”. Ia didokong pendokong gerakan Islam yang dianggap sebagai progresif. Golongan ini, ketika dalam PAS turut bekerjasama dengan DAP sejak 1990 melalui Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat.

Bersama dengan Parti Semangat 46 dan Parti Rakyat Malaysia, mereka mengetengahkan agenda Selamatkan Malaysia daripada kerosakan yang dipercayai akan dilakukan oleh Dr Mahathir sebagai perdana menteri ketika itu. Gabungan ini mendokong nilai-nilai demokrasi tulen dan urus tadbir kerajaan yang baik. Agenda bersama adalah demokrasi kerana ketika itu Dr Mahathir dianggap sebagai diktator dan melaksanakan demokrasi palsu.

Tetapi ironi politik sejarah ialah cita-cita Angkatan-Gagasan itu kini dicapai oleh PH bawah Dr Mahathir. Sebaliknya Tengku Razaleigh Hamzah dan PAS berada di pihak Umno yang dilihat sebagai pengamal demokrasi palsu, kakistokrasi dan kleptokrasi global seperti mana yang disebut oleh Lim.

Walaupun beliau pernah menganggap Dr Mahathir sebagai diktator dan pengamal demokrasi palsu, tetapi pemerintahan beliau sebagai perdana menteri ke-4 tidaklah mencecah sehingga menjadi kakistokrasi dan kleptokrasi global seperti yang dianggap telah dilakukan oleh Perdana Menteri Ke-6, Datuk Seri Najib Razak.

Kakistokrasi bermaksud pemerintahan yang teruk. Lawan kakistokrasi ialah pemerintahan cemerlang atau meritokrasi. Istilah kakistokrasi diberikan kepada kerajaan BN menjelang pilihan raya umum ke-14 oleh Lim. Sementara gelaran kleptokrasi diberikan oleh Dr Mahathir.

DAP bersedia menerima kepimpinan Dr Mahathir adalah kerana Lim percaya partinya boleh memainkan peranan besar untuk menyelamatkan negara. Dr Mahathir memberikan peranan besar kepada DAP dalam kerajaan PH. Maka inilah objektif Malaysia Baru. Objektif ini belum tercapai tetapi proses sedang berjalan.

Namun suasana politik memperlihatkan kemungkinan adanya persaingan antara Dr Mahathir dan Anwar serta PKR dan PPBM. Dalam proses ini kelihatan pula perbalahan dalaman PKR berlaku serentak dengan PPBM memperkasakan diri melalui pengambilan bekas ahli Umno.

Lim menyaksikan pergolakan ini dan memberi amaran bahawa fokus DAP adalah pelaksanaan objektif Malaysia Baru. DAP bukan MCA 2.0 yang hanya menjaga kepentingan Cina. DAP adalah parti nasional.

Maka parti-parti lain juga perlu ingat. PKR dan PPBM bukanlah Umno 2.0 untuk mewakili orang Melayu saja. Amanah juga bukanlah PAS 2.0 untuk mewakili gerakan Islam. Nereka mewakili semua rakyat Malaysia. PH bukan BN 2.0. Malaysia Baru berbeza daripada Malaysia Lama.

Tiada ulasan: