HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Disember 2018

Srikandi Bersatu wadah perjuangan suara wanita Malaysia baharu

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Agenda untuk menarik lebih ramai golongan wanita menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan menjadi fokus utama sayap wanita parti itu, Srikandi pada perhimpunan agung kali kedua parti itu yang akan diadakan esok hingga Ahad ini.

Ketua Srikandi Bersatu Datuk Seri Rina Harun berkata selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lepas, kini tiba masanya parti yang dikemudi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu mengisi kemenangan dengan menambah keanggotaan parti oleh mereka yang sudah mula mempercayai perjuangan Bersatu.

“Kita sudah susun program supaya Srikandi boleh jadi wadah suara wanita terutama di akar umbi kerana kalau dulu nak masuk Srikandi kami diugut dan dihina.

“Alhamdulillah dengan pilihan suara rakyat, anggota semakin bertambah. Mungkin dulu mereka tidak berani mahu bersama, sekarang lebih berani dan terbuka. Jadi Srikandi akan bergerak lebih agresif terus mendampingi rakyat untuk menambah keanggotaan dan memastikan mereka yang ingin menjadi anggota sudah pasti dan yakin dengan perjuangan yang kami bawa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual dengan beberapa organisasi media baru-baru ini sempena perhimpunan agung kali kedua parti itu yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Katanya Srikandi juga akan terus membawa suara akar umbi seperti yang dilakukan sebelum kemenangan PRU-14, berlandaskan kepada permasalahan golongan wanita pada hari ini terutamanya isu perundangan, ekonomi, pendidikan dan politik.

Seramai 600 pewakilan akan bersama dalam persidangan pertama sayap Srikandi itu yang akan dirasmikan serentak bersama persidangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), yang akan disempurnakan oleh Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin malam esok.

Mengenai keanggotaan Srikandi, Rina berkata sehingga September lepas sayap Bersatu itu telah menerima 70,000 keanggotaan hanya dalam tempoh lebih setahun ditubuhkan iaitu sejak Mac 2017.

Katanya kemasukan anggota itu juga hasil kempen penambahan keahlian ‘Seribu Seri’ yang dilancarkan oleh Timbalan Presiden Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir pada November lepas di mana Srikandi telah menarik pelbagai golongan wanita termasuk profesional, usahawan dan wanita luar bandar.

Ditanya mengenai pandangan bahawa Srikandi dilihat kurang menyerlah berbanding sayap wanita dalam parti gabungan PH yang lain, Rina berkata perkara itu mungkin disebabkan umur penubuhan yang baru setahun jika dibandingkan dengan yang lain.

Bagaimanapun, beliau mengambil maklum perkara itu dan akan bergerak lebih agresif serta melatih kepimpinan Srikandi untuk jadi pemimpin yang baik, berkarisma dari akar umbi dan atasan.

Menyentuh berkenaan kedudukan beliau yang dikatakan kurang popular dan tidak lantang dalam menyuarakan pendapat mengenai isu-isu semasa berbanding menteri kabinet yang lain, Rina yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata beliau memilih untuk bercakap hanya apabila perlu dan merujuk sebarang perkara kepada Dr Mahathir.

Malah, katanya beliau juga lebih menumpukan kepada kerja-kerja kementerian yang diamanahkan bagi memastikan janji kepada rakyat dapat ditunaikan dan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun yang dianggapnya singkat untuk dipenuhi keseluruhannya.

“(Parti) kita perlu dilihat sebagai pasukan. Apa yang perlu kita cakap mesti selari dengan kepimpinan di atas dan sebagai sebuah kerajaan baharu kita mesti dilihat kuat dan antara kita sendiri pun perlu dilihat begitu kuat supaya memberi keyakinan kepada rakyat.

“Kita meraikan pelbagai pandangan tetapi kalau ada perbezaan ketara ia akan mendatangkan persepsi tidak baik kepada rakyat sama ada kerajaan yang dipilih ini tidak bersatu hati lagi dan itu yang cuba kita elakkan. Populariti mungkin penting tetapi juga tetapi harus selari dengan pelaksanaan kerja,” katanya.—Bernama

Tiada ulasan: