HALAMAN SANTAI

Selasa, 25 Disember 2018

Kena sepakat dengan Warisan jika PPBM mahu masuk Sabah

Mohd Zaini Samsu Hadi

xMGF24122018_TEMUBUAL-MUHYIDDIN-YASSIN05-681x454
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap pada sidang media khas di Ibu Pejabat PPBM, Selangor. foto HAZROL ZAINAL
 

PETALING JAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya akan memasuki Sabah selepas mendapat kata sepakat dengan Parti Warisan Sabah.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti itu tidak akan membuka cawangan di Sabah tanpa berunding dengan kerajaan negeri yang dipimpin oleh Warisan kerana ia merupakan perjanjian sebelum PRU-14.

“Jika semua boleh menyertai Warisan, lebih mudah tetapi jika mereka (rakyat Sabah) mahu menyertai Bersatu, kami akan berunding dengan Warisan terlebih dahulu sebelum menubuhkan cawangan kami di sana,” kata Muhyiddin.

Beliau mengulas mengenai 2,000 rakyat Sabah yang menetap di Semenanjung Malaysia yang mengemukakan borang permohonan mereka untuk menyertai Bersatu di Shah Alam, Selangor semalam.

Bagaimanapun katanya, kemasukan Bersatu ke Sabah hanya akan wujud sekiranya parti itu mendapat persetujuan kepimpinan Warisan kerana tidak mahu mewujudkan konflik sokongan di Sabah.

Menurut Muhyiddin, pihaknya kini sedang menunggu hasil perbincangan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal terlebih dahulu dan sama ada Bersatu masuk atau tidak ke Sabah bergantung kepada hasil laporan Ketua Menteri Sabah berkenaan.

Selain itu, beliau juga menegaskan, Bersatu juga akan merancang dengan teliti sekiranya mahu menubuhkan cawangan parti di Sarawak kerana sebelum itu PKR, DAP dan Amanah sudah berada di sana.

“Mungkin (kalau ada pun) beberapa cawangan,” katanya kepada media dalam satu tembubual di sini mengenai persediaan untuk Perhimpunan Agung Bersatu yang akan berlangsung Jumaat ini.- MalaysiaGazette


Tiada ulasan: