HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 Disember 2018

EKSKLUSIF: Saya jumpa, salam dengan Nik Abduh – Nik Omar

Mohammad Arif Nizam

xMGF27122018_EKSLUSIF-YADIM_03-681x454
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nik Omar Nik Abdul Aziz bercakap ketika sesi temubual ekslusif bersama Malaysia Gazette di Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Kompleks Islam Putrajaya, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI
 

PUTRAJAYA – Anak kedua bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat iaitu Nik Omar menjelaskan tiada krisis yang berlaku di antara beliau dengan adik-beradik yang lain.

Beliau yang kini Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) berkata, apa yang terjadi sebelum ini hanya berpunca daripada perbezaan pandangan dan menjadi kontroversi kerana melibatkan hal-hal politik.

Menurutnya, apa yang penting bagaimana hendak menguruskan perbezaan tersebut apatah lagi beliau dan adik-beradik memiliki pertalian darah.

“Istilah krisis bunyi macam terlalu besar dan sebenarnya lebih kepada perbezaan pandangan dan jadi menular kerana berkaitan politik.

“Tetapi saya sentiasa sebut perbezaan itu kita tidak dapat elak kerana tidak ada dua orang yang sepakat dalam dua perkara.

“Cuma, mana hendak uruskan perbezaan dan itu lebih penting. Islam mengajar asasnya orang mukmin ini adalah bersaudara dan lebih lagi diikat dengan tali persaudaraan dan darah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual MalaysiaGazette di pejabat YADIM di sini hari ini.

Bekas calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di bawah tiket kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu menambah, sebagai sebagai abang lelaki sulung, beliau perlu menunjukkan contoh yang terbaik.

“Perbezaan dalam bidang politik tidak sampai perbalahan dan kebencian. Itu kita mesti elak,” katanya tersenyum.

Ditanya sama ada hubungannya dengan adiknya yang Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh hingga membawa kepada situasi tidak bertegur sapa, Nik Omar menafikannya.

“Alhamdulillah, kita boleh jumpa dan bersalam. Kita boleh bertanya khabar dan abang kena tunjuk contoh yang baik,” katanya berterus-terang.

Semalam, isu perebutan pengurusan sekolah swasta yang diasaskan oleh Nik Abdul Aziz iaitu Maahad Darul Anuar (MADA) Pulau Melaka, dekat Kota Bharu berakhir dengan penyelesaian yang baik.

Nik Mohamad Abduh yang mengesahkan perkara itu berkata, Nik Omar yang merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah Maahad berkenaan telah menyerahkan secara rasmi pengurusan sekolah itu kepada Yayasan Islam Kelantan.

Baru-baru ini. kecoh kejadian pencerobohan MADA oleh pihak tidak bertanggungjawab di kawasan bangunan dan pejabat pentadbiran sekolah itu.

Kemelut itu dipercayai perebutan ahli keluarga berhubung pengurusan pentadbiran maahad berkenaan.

Kata Nik Omar, allahyarham ayah mereka telah mengeluarkan amanat atau status bahawa Darul Anuar telah diamanahkan untuk dikendalikan oleh pihak Lembaga Pengarah.

Pada Mei 18 Mei lalu, keluarga Allahyarham Nik Abdul Aziz dikatakan melarang Nik Omar menjadi imam dan menyampaikan kuliah di Masjid Tok Guru, Pulau Melaka.

Perkara tersebut didedahkan sendiri oleh Nik Omar ketika menyampaikan kuliah pagi Jumaat di hadapan kira-kira 100 hadirin di Wisma Tok Guru, Salor yang juga merupakan markas Parti Amanah Negara Kelantan.

Menurut Nik Omar, larangan itu boleh dianggap sebagai harga yang perlu dibayar kerana membuat keputusan menyertai PH pada PRU-14.

Bagaimanapun, beliau menegaskan sudah membuat keputusan muktamad dan tidak akan sekali-kali berpatah balik. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: