HALAMAN SANTAI

Selasa, 25 Disember 2018

Video baru tolak teori Adib dilanggar

MALAYSIAKINI

   
Muncul video baru yang menunjukkan sebuah jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat yang melanggar van jabatan itu ketika mengundur, semasa malam kedua rusuhan sekitar Kuil Sri Maha Mariamman Subang Jaya 27 Nov lalu.

Video 26 saat itu menunjukkan seorang anggota bomba menuju ke arah belakang jentera itu, sebaik sebelum ia mengundur.

Dia bagaimanapun beredar dan tidak berada di depan van ketika ia dilanggar jentera tersebut.

Jentera bomba melanggar van itu ketika ingin mengelak daripada perusuh daripada terus merosakkan jentera itu.

Rakaman itu menunjukkan tiada sesiapa berada di antara jentera dan va ketika pelanggaran berlaku.

Video terdahulu untuk insiden sama pula menunjukkan seorang anggota bomba menuju ke arah belakang jentera. Rakaman bagaimanapun kemudian beralih ke tempat lain sebaik sebelum jentera itu mengundur.

Ia mencetuskan dakwaan bahawa anggota bomba itu adalah Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dan beliau cedera akibat kemalangan itu.

Pihak berkuasa mengatakan Adib diheret keluar dari kenderaannya sebelum dibelasah perusuh, menyebabkannya mengalami kecederaan dalaman dan patah tulang rusuk.

Adib meninggal dunia pada malam 17 Disember ketika menjalani rawatan di Institut Jantung Negara.

Dakwaan "Adib dilanggar jentera" dibangkitkan pertama kali oleh Jawatankuasa Khas Selamatkan Kuil Mariamman Seafield.

Pengerusinya Ramaji bagaimanapun telah memohon maaf dan berkata perkara itu dibangkitkan hanya dengan tujuan agar polis dapat menyiasatnya, bukan untuk menyakiti perasaan keluarga Adib.

Teori berhubung punca kecederaan Adib mula tersebar selepas Ramaji mendakwa seorang anggota bomba melalui belakang jentera bomba ketika ia mengundur.

Selepas melihat video dan gambar insiden, Malaysiakini mendapati individu yang didakwa "dilanggar" itu memakai pakaian berbeza daripada Adib.

Adib merupakan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan memakai uniform celoreng biasa, manakala individu itu memakai topi keledar dan uniform kalis-api Nomex.

Jabatan Bomba dan Penyelamat kemudian memaklumkan individu itu ialah seorang lagi anggota, Mohd Hazim Mohd Rahimi dan beliau juga tidak dilanggar.

Tiada ulasan: