Anggota
Parlimen Kuala Nerus, Dr Khairuddin Aman Razali dikatakan memegang
empat jawatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri Terengganu.
Sumber bagaimanapun berkata, dua daripadanya syarikat bermasalah dan selebihnya bukan bermatlamat keuntungan.
"Lantikan dibuat awal Mei seawal PAS menang di Terengganu sesuai dengan kedudukan sebagai anggota parlimen dan pengarah strategi PAS Pusat serta latar belakang (Khairuddin) sebagai bekas pensyarah dan pemegang PhD.
"DITC pula pusat latihan negeri di bawah seliaan TSIS. Oleh kerana itu Khairuddin kekal mempengerusikannya," kata sumber yang enggan didedahkan namanya kepada Malaysiakini, hari ini.
Terdahulu, satu poster ditujukan kepada anggota jawatankuasa PAS itu yang mengucapkan tahniah pelantikan beliau dalam keempat-empat GLC itu tersebar di media sosial.
Susulan itu, Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah Terengganu, Muaamar Qaddafi Mohd Nasir mempertikaikan pelantikan berkenaan dan menggesa wakil rakyat PAS negeri itu mengisytiharkan harta.
Muaamar turut mengingatkan bahawa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini sudah menetapkan seorang individu hanya boleh memegang jawatan yang terhad dalam GLC.
"Nampaknya PAS Terengganu gagal mengikut aspirasi murni kerajaan persekutuan," katanya.
Sementara itu, mengulas berhubung jawatan di Paya Bunga Hotel Terengganu, sumber menjelaskan bahawa syarikat berkenaan merupakan anak syarikat kerajaan negeri yang bermasalah.
"Hotel masih gagal beroperasi sejak dua tahun lalu walaupun pengambilan pekerja dibuat dengan kerugian pengurusan jutaan ringgit.
"Khairuddin diberi amanah untuk ambil alih dan penstrukturan semula syarikat bermula Oktober lalu. Dalam masa dua bulan beliau berjaya menyelesaikan masalah dan hotel mula beroperasi awal Disember ini.
"Amanah yang diberikan kepada beliau atas pengalaman sebagai ahli perniagaan berjaya dan kedudukan sebagai ketua lajnah ekonomi PAS Pusat," jelasnya.
Katanya, pusat penginapan pelancongan itu juga mengalami kerugian jutaan ringgit.
"Beliau diberi tugas menyelesaikan masalah yang ditinggalkan Umno berdasarkan pengalaman dan kemampuan yang ada. Sebagai ahli perniagaan, ahli parlimen dan sementelah Marina Duyong berada di kawasan parlimennya," kata sumber berkenaan.
Khairuddin
di Facebooknya hari ini memaklumkan majlis perasmian Paya Bunga Hotel
yang akan turut dihadiri Menteri Besar Terengganu pada 30 Dis ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan