HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 Disember 2018

'Hadi enggan terima hakikat majoriti Melayu dalam PBT'

MALAYSIAKINI

   

Presiden PAS Abdul Hadi Awang enggan menerima hakikat bahawa orang Melayu merupakan majoriti dalam majlis kerajaan tempatan, kata Menteri Luar Saifuddin Abdullah.

Saifuddin menjawab kenyataan Hadi di London yang mengatakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) akan menyebabkan sesuatu bandar dikuasai oleh satu-satu kaum sahaja.

"Hakikatnya orang Melayu adalah majoriti di kebanyakan PBT, tetapi dia (Hadi) tidak mahu mempercayainya," kata Saifuddin di Twitter.

Beliau menjawab satu soalan mengenai bagaimana keputusan pilihan raya kerajaan tempatan berbeza dengan pilihan raya umum memandangkan kaum Melayu kekal sebagai penduduk majoriti.

Menurut Anggota Parlimen Indera Mahkota itu, kenyataan Hadi perlu dibantah kerana menyebarkan maklumat salah mengenai pilihan raya kerajaan tempatan.

Kelmarin, sesi dialog bersama Hadi di London bertukar panas apabila seorang hadirin menggelar Abdul Hadi sebagai rasis kerana membantah pilihan raya kerajaan tempatan.
Hadi berkata, sekiranya pilihan raya itu diadakan ia berkemungkinan akan menyebabkan rusuhan kaum seperti yang berlaku pada 13 Mei 1969.

Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata rakyat Malaysia akan dapat menyaksikan pilihan raya PBT dalam masa tiga tahun.

Namun Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata ia tidak akan diadakan kerana boleh mengundang konflik antara kaum dan melebarkan jurang antara bandar dan luar bandar

Bagaimanapun, Zuraida berkata kajian mengenainya akan tetap diteruskan dengan mengikut acuan tempatan dan mengambil kira sentimen dan sensitiviti rakyat Malaysia.


Tiada ulasan: