Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Dr Mahathir Mohamad berkata beliau sedih mendengar aduan bahawa terdapat ketua bahagian yang menghalang bakat baru memegang kepimpinan parti.
Menyifatkan bahawa aduan seumpama itu hanya biasa didengar dari kalangan pemimpin Umno, Mahathir mengingatkan bahawa amalan seperti itu boleh menyebabkan Bersatu menerima nasib sama seperti Umno.
"Saya berasa sedih tentang cerita-cerita bahawa ada ketua bahagian yang menyingkirkan orang yang sudah memegang jawatan dan tak sanggup terima orang baru, pasal kemungkinan orang baru lebih pandai daripada kita, dan jika ada pemilihan takut akan kalah.
"Dalam politik, ada masa kita menang, ada masa kita kalah. Apabila kalah, kita terima, dan kita lawan sekali lagi. Tetapi untuk menentukan kita tidak kalah, maka kita tidak benar orang lain masuk, kita akan tinggal seorang diri sebagai ketua bahagian yang tiada ahli.
"Apabila itu berlaku, akhirnya parti kita akan hancur, dan dia juga tak akan jadi ketua bahagian lagi. Lihat apa yang jadi kepada Umno, boleh jadi kepada kita," katanya pada sesi penggulungan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu ke-2 di Putrajaya hari ini.
Jelas Mahathir, sebagai parti dalam kerajaan, anggota parti tetap akan mendapat manfaat.
Namun, katanya, sekiranya hilang kuasa, jawatan paling kanan sekali pun tidak akan meberi apa-apa makna.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan