HALAMAN SANTAI

Selasa, 25 Disember 2018

Kerajaan perlu berusaha lebih keras tunai janji


 Janji disenaraikan Pakatan Harapan (PH) yang menjadi antara faktor gabungan empat parti itu berjaya menawan Putrajaya dan mengetepikan Barisan Nasional (BN) di beberapa negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei lalu, masih menjadi isu yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan.

Selepas lebih enam bulan, masih banyak janji belum ditunaikan dan isu itu bukan sahaja menjadi ‘senjata’ digunakan lawan politik pakatan, tetapi turut dibangkitkan oleh kalangan pemimpin parti dalam kerajaan sendiri. Selain manifesto PH, ada pula sesetengah calon mewakili PH pada PRU-14 dan kemudian terpilih menjadi wakil rakyat, turut menyenaraikan janji peribadi masing-masing yang berbentuk tempatan, lebih kepada isu membabitkan masyarakat di kawasan yang mereka tandingi.

Rata-rata wakil rakyat yang membuat janji peribadi juga sehingga kini belum berjaya menunaikannya.

Isu ini sebenarnya isu besar yang tidak boleh diambil mudah, malah saban masa perihal janji pilihan raya PH menjadi bahan bualan rakyat, terutama menerusi platform media sosial. Ia bukan jenis isu yang boleh dipandang sebelah mata atau disenyapkan begitu sahaja, sebaliknya perlu ditangani dengan baik.

Sehubungan itu, pemimpin kerajaan dan parti dalam PH perlu bijak menguruskan isu ini, bukan menerusi kenyataan semberono atau memberi pelbagai alasan yang mungkin dilihat oleh rakyat seperti sekadar mahu melepaskan batok di tangga.

Peringatan serupa turut disuarakan bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mendedahkan hasil kajiannya bahawa rakyat mula hilang sabar dengan apa yang dilihat alasan demi alasan diberikan pentadbiran PH.

 Beliau mendakwa, hasil kaji selidik pertama dijalankannya sejurus PRU-14 hingga dua minggu lalu, mendapati responden semua kaum menamakan beban sara hidup dan janji pilihan raya sebagai isu paling utama yang mereka mahu Kerajaan Persekutuan tangani.

Peringatan hampir sama lebih awal disuarakan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin yang mahu Kerajaan PH memberi tumpuan kepada usaha menunaikan janji kepada rakyat yang mengundi mereka pada PRU-14 dan melupakan apa yang berlaku pada masa lalu, berhenti menyalahkan kerajaan sebelum ini.

Bekas Menteri Kewangan itu bagaimanapun meminta rakyat memberi sedikit masa kepada kerajaan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Kabinetnya untuk berusaha memenuhi janji yang dibuat. Dalam aspek ini, rakyat boleh tidak bersetuju dengan permintaan agar kerajaan diberikan masa, namun pada masa sama rakyat juga rasanya boleh bertolak ansur dan mengambil kira keadaan kewangan semasa negara kita.

Bagi pihak kerajaan dan pemimpinnya pula, jangan biarkan rakyat dalam kesamaran, perjelaskan dari semasa ke semasa perkembangan usaha atau inisiatif diambil Putrajaya untuk melaksanakan janji yang dibuat menjelang PRU-14 lalu.

Rakyat mungkin lega mendengar jaminan Dr Mahathir,  bahawa kerajaan perlu menunaikan janji-janjinya jika mahu terus mendapatkan kepercayaan untuk meneruskan mandat.

 Perdana Menteri turut mengakui kegagalan PH untuk menyampaikan janji pilihan raya dan memberi amaran, apabila kerajaan mengalami kemerosotan dalam mendapat kepercayaan, ia akan ditolak dan akhirnya boleh disingkirkan oleh rakyat.

 Lebih melegakan adalah jaminan Dr Mahathir bahawa kerajaan harus bekerja keras serta menunjukkan usaha untuk melakukan yang terbaik bagi merealisasi janjinya, sama ada sukar atau tidak.-B/H

Tiada ulasan: